Seorang bekas penuntut universiti awam di Perlis dipenjara dua tahun oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini selepas mengaku bersalah kerana cuba memberi sokongan kepada kumpulan pengganas Islamic State (IS), atau dikenali militan Daesh.

Hakim Datuk Azman Abdullah menjatuhkan hukuman itu terhadap Wan Mohammad Arif Wan Rokman, 24, dan memerintahkannya menjalani hukuman penjara itu bermula dari tarikh dia ditangkap pada 28 Disember 2014.

Wan Mohammad Arif didakwa cuba memberi sokongan kepada kumpulan pengganas IS dengan cara mengambil penerbangan Turkish Airlines dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) ke Istanbul, Turki, untuk menjadi anggota kumpulan itu.

Penuntut jurusan kejuruteraan marin itu didakwa melakukan kesalahan berkenaan di hadapan pintu C15, Balai Pelepasan Antarabangsa KLIA pada kira-kira pukul 10.15 malam, 28 Disember 2014.

Dia didakwa mengikut Seksyen 130J(1)(a) Kanun Keseksaan dan boleh dihukum di bawah Seksyen 130J kanun sama yang membawa hukuman penjarakan seumur hidup atau tidak melebihi 30 tahun atau denda, dan boleh dirampas mana-mana harta yang telah digunakan atau diniat untuk digunakan bagi melakukan kesalahan itu.

Mengikut fakta kes, pada Oktober 2014, Wan Mohammad Arif telah menyatakan hasrat menyertai kumpulan IS atau Daesh untuk berjihad dan mati syahid kepada abang, bekas tunangnya dan rakannya namun mereka tidak bersetuju dan menasihatkan tertuduh supaya berubah.

Tertuduh yang tidak mengendahkan nasihat itu kemudian menghubungi beberapa kenalan Facebook bagi meminta bantuan mereka dalam usaha memudahkannya untuk berhijrah ke Syria.

Pada hari kejadian, semasa berada di KLIA, tertuduh memaklumkan kepada bekas tunangnya bahawa dia telah mendapat tiket penerbangan untuk ke Turki pada pukul 11.30 malam hari sama, sebelum wanita itu bertindak menghantar mesej melalui khidmat pesanan ringkas (SMS) kepada bapa tertuduh bagi memaklumkan perkara itu.

Bapa tertuduh kemudian meminta bantuan anggota keluarga yang lain supaya mencari tertuduh di KLIA, namun gagal menemuinya sebelum satu laporan polis dibuat sehingga tertangkapnya tertuduh yang ketika itu berada di balai pelepasan.

Terdahulu, Azman dalam penghakimannya berkata tindakan Wan Mohammad Arif untuk ke Syria dan mengajak rakannya di kampus merupakan satu fenomena yang sangat berbahaya bukan sahaja kepada tertuduh tetapi juga kepada orang ramai.

Katanya, tertuduh telah meninggalkan pengajiannya yang ketika itu di tahun ketiga selain mengabaikan ibu bapa dan keluarga apabila bertindak pergi ke negara yang berbeza dengan keadaan kacau-bilau dan huru-hara.

"Saya bukan nak berceramah agama kepada kamu tetapi dengan memberi sumbangan kepada ibu bapa, pahalanya juga besar selain membawa keberkatan dalam diri kita dan bukannya meninggalkan ibu bapa untuk pergi ke negara huru-hara itu," kata hakim itu yang sempat menasihati supaya tertuduh tidak mengulangi perbuatan pada masa hadapan.

Anggota tentera dipenjara

Sementara itu, seorang anggota tentera dipenjara sembilan bulan oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini selepas mengaku bersalah memiliki 11 bahan penerbitan yang mempunyai kaitan dengan perlakuan dan perbuatan kumpulan pengganas Daesh.

Hakim Datuk Azman Abdullah memerintahkan Prebet Mohammad Rosdan Mohammad Khir, 25, dari Mahang, Kulim, Kedah, menjalani hukuman penjara itu bermula dari tarikh dia ditangkap pada 19 Ogos 2015.

Mohammad Rosdan, anggota tentera Rejimen Sempadan, Kem Bukit Kayu Hitam, Kedah, didakwa melakukan kesalahan itu di Balai Polis Gerik, pada 10.20 pagi 19 Ogos tahun lepas mengikut Seksyen 130JB(1)(a) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga tujuh tahun atau denda.

Berdasarkan fakta kes, Mohammad Rosdan ditangkap polis dari Balai Polis Gerik, Perak kerana disyaki terlibat dalam aktiviti keganasan dan siasatan yang dijalankan menemui beberapa bahan penerbitan terdiri daripada 11 buku yang mempunyai kaitan dengan perlakuan pengganas dalam telefon bimbit tertuduh.

Dalam penghakimannya, Azman berkata jika minat tertuduh terhadap aktiviti keganasan itu tidak dibendung, ia akan mendatangkan kemudaratan yang besar jika dipengaruhi oleh pihak yang tidak bertanggungjawab.

"Kamu seorang anggota tentera, kita takut ada orang lain yang minat kepada aktiviti keganasan ini mengambil kesempatan terhadap kamu kerana kamu mempunyai akses kepada senjata api," katanya.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Suhaimi Ibrahim memohon hukuman setimpal kerana tertuduh adalah seorang anggota tentera yang sepatutnya bertanggungjawab untuk pertahanan negara.

Peguam Mohd Khairul Anwar Ismail, yang mewakili Mohammad Rosdan memohon hukuman ringan atas alasan anak guamnya perlu menanggung keluarga di Kedah kerana ibunya tidak bekerja manakala ayahnya mengalami strok dan lumpuh.

"Tertuduh sangat naif memandangkan barang yang dimilikinya itu diperoleh daripada media sosial dan online," katanya.

- Bernama