Jaminan bekalan hasil laut mencukupi untuk Tahun Baru Cina
Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Tan Sri Muhyiddin Yassin memberi jaminan bahawa masalah kekurangan bekalan hasil laut tidak akan berlaku semasa musim Tahun Baru Cina, kerana bukan semua kawasan terjejas oleh bencana tsunami.
Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Tan Sri Muhyiddin Yassin memberi jaminan bahawa masalah kekurangan bekalan hasil laut tidak akan berlaku semasa musim Tahun Baru Cina, kerana bukan semua kawasan terjejas oleh bencana tsunami.
Menurutnya, hanya sesetengah kawasan di Pulau Pinang, Kedah, dan Perak sahaja yang dilanda bencana tersebut.
Dalam laporannya di muka 8 (Dalam negeri),
Sin Chew Daily
memetik beliau sebagai berkata jika hasil laut kekurangan, kerajaan akan membenarkan ianya diimport, terutama dari Thailand dan Vietnam.
Manakala Oriental Daiy News melaporkan di muka A2 (Nasional) seramai 5,997 nelayan yang terbabit dalam bencana tsunami, akan dipindahkan ke kawasan lebih tinggi.
Muhyiddin berkata, sudah ada kerajaan negeri yang telah memulakan kerja penempatan semula nelayan terbabit.
"Kebanyakan nelayan tidak mempunyai hak milik tanah, tetapi saya berpendapat kerajaan negeri tidak akan menempatkan kaum nelayan di kawasan yang jauh dari pantai," katanya.
Menurut Muhyiddin lagi, nelayan yang ditimpa bencana tsunami boleh mendapatkan pinjaman tanpa faedah daripada Dana Nelayan yang diuruskan Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) untuk membaiki atau membina bot baru.
Katanya, kerajaan memberi bantuan kepada kaum nelayan dengan harapan mereka dapat kembali ke laut dalam tempoh masa yang tersingkat.
Pihak berkenaan telah melantik pembina bot untuk mengukur muatan bot, tetapi jumlah bilangan bot yang perlu dibina semula atau dibaiki, hanya boleh ditetapkan selepas maklumat dikumpulkan pada 13 Januari ini.
"Sebaik sahaja bilangan bot yang perlu dibina ditetapkan, kami akan memberikan maklumat tersebut kepada pembina bot. Kami berharap mereka menyelesaikan kerja pembinaan dalam tempoh masa yang tersingkat bagi mengurangkan masa kaum nelayan menunggu ," ujarnya.
Katanya, bot-bot yang mengalami kerosakan ringan boleh dibaiki sendiri oleh nelayan tanpa pinjaman dari pihak berkenaan.
Menurutnya, 4,300 pukat telah ditukar manakala 4,000 lagi perlu dibaiki. Selain itu, pihak berkuasa juga telah memberi permit kepada Persatuan Nelayan Kebangsaan untuk mengimport pukat bagi memenuhi permintaan nelayan.
Tiga tabung perubatan digabung
Sementara itu, Nanyang Siang Pau melaporkan di muka A3 (Nasional) bahawa Kementerian Kesihatan bercadang menggabungkan tiga tabung perubatan sedia ada, untuk menjadi satu tabung sahaja bagi mengelakkan kekeliruan dan mengurangkan kerja pengurusan.
Menteri Kesihatan, Datuk Dr Chua Soi Lek berkata, kementeriannya telah mencadangkan kepada kabinet untuk menggabungkan Tabung Kebajikan Kesihatan Kebangsaan, Dana Khas Penyakit Kronik, dan Dana Khas Orang Kurang Upaya yang menghidap Penyakit Kronik, menjadi Tabung Bantuan Perubatan.
Beliau berharap Kabinet akan meluluskan cadangan ini dalam masa yang terdekat ini.
Katanya, syarat permohonan untuk mendapatkan bantuan daripada tabung tersebut juga akan dipinda, termasuk memansuhkan had pendapatan bulanan RM600 dan cara pembuktian perubatan.
Katanya, sesiapa yang disahkan oleh Jabatan Kebajikan berada di paras kemiskinan serta disahkan oleh pihak hospital memerlukan rawatan perubatan, boleh memohon bantuan dari tabung tersebut.
Bagaimanapun, Chua berkata, tabung ini hanya membenarkan pemohon menjalani rawatan di hospital kerajaan dalam negeri. Mereka hanya boleh mendapatkan rawatan di hospital swasta sekiranya hospital kerajaan tidak mempunyai peralatan yang sesuai.

