Suhakam mungkin 'paksa' peserta hadiri bengkel anjurannya
Sikap tidak kisah sesetengah agensi penguatkuasa untuk menghantar peserta menghadiri bengkel hak asasi manusia anjuran Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) mungkin memaksa suruhanjaya itu untuk mendapatkan bantuan mahkamah.
Sikap tidak kisah sesetengah agensi penguatkuasa untuk menghantar peserta menghadiri bengkel hak asasi manusia anjuran Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) mungkin memaksa suruhanjaya itu untuk mendapatkan bantuan mahkamah.
Pesuruhjaya Prof Hamdan Adnan berkata pihaknya mendapat tahu ada agensi-agensi terbabit yang tidak kisah langsung untuk menghantar wakil mereka menghadiri bengkel-bengkel Suhakam.
Beliau mengingatkan sekiranya keadaan memerlukan, suruhanjaya itu mungkin mengambil tindakan mahkamah bagi 'memaksa' kehadiran peserta ke bengkel anjurannya.
"Suhakam boleh ke mahkamah untuk mendapatkan sepina untuk mewajibkan mereka menghadirinya. Kita akan lakukannya jika sampai ke tahap itu," katanya.
Beliau memberitahu malaysiakini demikian ketika bercakap mengenai bengkel sehari Suhakam untuk agensi penguatkuasa di Miri, Sarawak bulan depan bagi meningkatkan kesederan mereka mengenai penguatkuasaan dan hak asasi manusia.
Dakwaan pencemaran
Dalam satu lagi perkembangan, Suhakam akan menyiasat untuk mengetahui sama ada sebuah syarikat yang mengendalikan projek agro-pelancongan dekat sebuah rumah panjang suku Iban di Sarawak menggunakan 'racun' pada pokok dan mencemarkan sumber air minuman penduduk di situ.
Mengikut Hamdan, lawatan ke projek tersebut akan dilakukan pada pertengahan bulan depan.
Penduduk di Rumah Rayong 95 bilik di Bakong, yang terletak kira-kira 40km dari Miri, telah mengadu bahawa pemaju telah menggunakan racun, yang dikenali sebagai 'jelait' pada pokok untuk menghalang dirosakkan oleh anai-anai.
Mereka juga mendakwa ramai penduduk di situ yang terkena sumber air yang tercemar itu mengalami gatal kulit.
Seorang bekas pegawai kanan pertanian yang sudah bersara memberitahu malaysiakini bahawa 'jelait' satu bahan berwarna kekuningan tidak harus digunakan kerana ia boleh merosakkan kulit.
"Ianya seperti racun paraquat yang kini sudah diharamkan. Kalau boleh elak daripada terkena racun itu," tambahnya.
Penduduk rumah panjang itu sehingga ini belum mendapatkan perintah mahkamah bagi menghalang syarikat tersebut daripada terus menggunakan racun tersebut.
Mengikut laporan yang dierima oleh Suhakam dari wakil rumah panjang tersebut, sesetengah daripada penduduk yang cuba menghalang kerja-kerja pembinaan di situ, telah ditahan.
Janji bayar pampasan
Baru-baru ini penduduk suku kaum Bidayuh di Raso I dan II yang terletak antara Bau dan Lundu, kira-kira 40 km dari Kuching, berjaya menghalang sebuah syarikat pembalakan daripada terus beroperasi di tanah adat di situ, selepas campurtangan Suhakam.
Syarikat tersebut juga berjanji untuk membayar pampasan bagi pokok buah-buahan, terutama pokok engkabang yang telah ditebang.
"Kami sedang mengawasi sama ada syarikat tersebut menunaikan janjinya (untuk membayar pampasan). Kami mahu berurusan dengan keseluruhan masyarakat terbabit dan bukannya dengan seorang dua penduduk sahaja," kata Hamdan.
Katanya, beliau juga kecewa dengan sikap sesetengah pegawai kerajaan yang merasakan mereka boleh mengetepikan undang-undang di Sarawak.
Mengenai isu tanah adat, terutama pencerobohan orang luar sama ada untuk tujuan pembalakan atau perladangan, Hamdan berkata, setiap orang mesti mematuhi undang-undang.
--------------------------------------------------------------------------------
TONY THIEN adalah wartawan sambilan malaysiakini di Sarawak.

