Bekas menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Zaid Ibrahim mengemukakan bantahan awal untuk menggugurkan pertuduhan beliau membuat kenyataan bersifat jelik dalam ucapannya yang menggesa agar Datuk Seri Najib Tun Razak meletak jawatan sebagai perdana menteri.

Peguam M Puravalen yang mewakili Zaid memberitahu mahkamah bahawa Zaid iaitu orang kena saman (OKS) tidak melakukan apa-apa kesalahan sebagaimana pertuduhan mengikut Seksyen 233 (1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (AKM).

Puravalen berhujah bahawa pertuduhan mengikut seksyen itu telah disalahgunakan terhadap OKS kerana ia tidak melibatkan apa-apa kesalahan jenis penerbitan.

"Semasa kesalahan itu kali pertama dilakukan, pengadu berkata beliau melihat satu penerbitan tetapi ini bukan satu penerbitan. Ini adalah menghasilkan satu dokumen dan kemudian memulakan penghantaran. Ia adalah dua perkara yang berbeza. Jadi tidak ada kesalahan di sisi undang-undang dan pertuduhan ini perlu digugurkan, katanya.

Timbalan Pendakwa Raya Shukor Abu Bakar, memohon kepada mahkamah tempoh bagi membolehkan pihaknya memfailkan hujahan balas terhadap bantahan awal itu.

Hakim Balqis Aini Mohd Ali menetapkan 4 Mac untuk mendengar hujahan pendakwa.

Zaid, 64, didakwa menggunakan perkhidmatan aplikasi internet dan secara sedar membuat dan memulakan pernyataan yang bersifat jelik di laman http://www.zaid.my bertajuk, 'Rally Behind Tun Dr Mahathir Mohamad' dengan niat untuk menyakitkan hati orang lain di Pejabat Unit Siasatan Jenayah Terkelas, Bukit Aman di sini pada 3.20 petang 3 September tahun lepas.

Dia didakwa mengikut Seksyen 233 (1)(a) AKM yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara sehingga setahun atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Pada 2 September 2015, Zaid memberi ucapan di Kelab Diraja Selangor dan kemudian memuat naik ucapan itu di dalam blog beliau pada keesokannya.

- Bernama