Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita

Gabungan Ketua Cawangan Umno Malaysia (GKCM) mengancam untuk membakar buku Perlembagaan Umno sekiranya tiada tindakan diambil terhadap pimpinan Umno Kedah.

Timbalan Presidennya, Datuk Mohd Zin Mustapa berkata, pihaknya akan membakar buku tersebut sekiranya Lembaga Disiplin Umno tidak mengambil sebarang tindakan terhadap ketua bahagian Umno Kedah yang mengadakan sidang media menyatakan 'hilang keyakinan' terhadap menteri besarnya Datuk Seri Mukhriz Mahathir.

"Kita akan buat bantahan besar-besaran atau buat demonstrasi bakar buku Perlembagaan Umno kerana bermain dengan buku perlembagaan (parti). Sebahagian ambil tindakan, (tetapi) ada yang tak ambil tindakan.

"Kalau tak ambil tindakan (kepada ketua bahagian Umno Kedah) kami akan bakar," katanya dalam sidang media di lobi Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) hari ini.

Malah, beliau juga sekali lagi menggesa supaya badan disiplin parti mengambil tindakan sama terhadap ketua bahagian Umno Kedah seperti yang dikenakan terhadap ketua cawangan Umno Teluk Kemang.

"Kita memohon tindakan sama diambil kerana mereka mengkritik Mukhriz sebagai menteri besar dan pengerusi perhubungan Umno negeri.

"Saya nak tengok ketua bahagian itu dipecat seperti ketua cawangan di Teluk Kemang," tambahnya lagi.

Pihaknya hari ini juga menghantar surat kepada Pengerusi Lembaga Disiplin Umno Tengku Ahmad Rithauddeen di PWTC bagi menggesa tindakan terhadap kumpulan yang mendesak agar Mukhriz ditukar.

Semalam, gabungan itu juga telah menghantar memorandum kepada Setiausaha Agung Umno Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor bagi mendesak tindakan sama.

Bagaimanapun, semalam Tengku Adnan mengatakan, isu tindakan disiplin terhadap 14 ketua bahagian Umno di Kedah yang menghadiri sidang media menggesa perubahan menteri besarnya tidak timbul.

Katanya, ibu pejabat parti berkenaan memantau sidang media yang diadakan di Alor Setar semalam.

"Justeru itu, tidak timbul (isu) Setiausaha Agung Umno perlu mengambil tindakan disiplin terhadap 14 orang ketua bahagian tersebut," kata Tengku Adnan dalam kenyataan dimuat naik di laman web Umno Online .

Lihat Komen
ADS