Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Menteri: Jalan beralun bukan punca kemalangan di LPT2
Diterbitkan:  Jan 23, 2016 6:58 PM
Dikemaskini: 11:00 AM

Kemalangan di Lebuh Raya Pantai Timur Fasa 2 (LPT2) bukan berpunca daripada keadaan permukaan jalan yang beralun, kata Menteri Kerja Raya Datuk Seri Fadillah Yusof.

Sebaliknya, beliau berkata lokasi kemalangan maut berlaku di jajaran lurus dan mempunyai permukaan jalan yang baik.

Dalam satu kenyataan hari ini, Fadillah berkata penemuan itu diperoleh daripada padanan statistik kemalangan maut dengan nilai Indeks Kerataan Jalan Antarabangsa (IRI) hasil ujian profil yang dijalankan ke atas permukaan jalan di lebuh raya berkenaan.

"Berdasarkan keputusan ujian IRI yang dijalankan pada 8 Januari 2016, didapati nilai IRI bagi keseluruhan jajaran LPT2 sepanjang 184km adalah mematuhi tahap nilai ditetapkan Lembaga Lebuhraya Malaysia.

"Kementerian juga telah memadankan rekod statistik kemalangan maut dengan nilai IRI dan mendapati lokasi kemalangan maut tidak berlaku di lokasi beralun tetapi di jajaran lurus dan mempunyai permukaan jalan yang baik.

"Justeru, jalan beralun bukan punca kemalangan di LPT2 sepertimana ditemui daripada ujian IRI tersebut," katanya.

Fadillah berkata kementerian menjalankan dua peringkat ujian IRI di LPT2, iaitu pada 28 Oktober lepas bagi jajaran lebuh raya sepanjang 60km, dan pada 5 hingga 8 Jan 2016 bagi keseluruhan jajaran LPT2 sepanjang 184km.

Menurutnya ujian IRI dijalankan oleh Ikram Paves Sdn Bhd menggunakan Pengimbas Jalan yang mengimbas permukaan jalan dan menyemak jalan menggunakan laser, dan data diperoleh akan dianalisa untuk digunakan dalam kerja-kerja penyelenggaraan.

Ia merupakan tambahan kepada pemeriksaan rutin yang dibuat ke atas LPT2, katanya.

Fadillah berkata walaupun jalan beralun bukanlah punca kemalangan di lebuh raya berkenaan, permukaan jalan di lokasi terlibat akan terus dibaik pulih dengan menggunakan kaedah kawalan dan menurap semula jalan serta penggunaan bahan-bahan khas.

"Ujian IRI akan diteruskan secara berkala supaya kerja penyelenggaraan dapat dijalankan dengan sempurna dan strategik mengikut standard dan spesifikasi ditetapkan untuk menjamin keselamatan dan keselesaan pemanduan bagi pengguna LPT2," katanya.

Beliau juga berharap pengguna jalan raya dapat memanfaatkan kemudahan jajaran LPT2 secara berhemah dengan mematuhi had laju ditetapkan.

- Bernama

Lihat Komen
ADS