Remaja lelaki antara 4 cedera dihempap pokok
Seorang remaja lelaki 13 tahun antara empat yang tercedera apabila tiga pokok tumbang akibat dipukul ribut di sebuah tapak pasar malam di Paya Jaras, Sungai Buloh petang tadi.
Ketua Polis Daerah Sungai Buloh Supt Mohd Rozi Jidin berkata kejadian pada pukul 3.20 petang itu berlaku ketika kesemua mangsa sedang dalam persiapan membuka gerai.
"Remaja berkenaan cedera pada bahagian kepala dan patah tangan kirinya, manakala dua lagi lelaki masing-masing berusia 53 dan 21 tahun cedera pada badan serta pinggang.
Selain itu,seorang wanita warga Indonesia, berumur dalam lingkungan 40-an pula hanya mengalami cedera ringan," katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.
Mohd Rozi berkata kejadian itu turut mengakibatkan kerosakan teruk pada sebuah lori dan tiga buah van peniaga di pasar malam itu.
"Kesemua mangsa telah dikejarkan ke Hospital Sungai Buloh untuk rawatan lanjut dan jumlah kerugian masih dalam siasatan," katanya.
- Bernama

