Jawatankuasa penjenamaan semula Biro Tata Negara (BTN) akan memperhalusi dan mengkaji silibus BTN serta melihat aspek pengurusan persepsi khususnya dalam kalangan anak muda.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Azalina Othman Said berkata bagi melaksanakan tugasan tersebut, jawatankuasa penjenamaan semula itu dibahagikan kepada dua jawatankuasa kecil.

"Satu daripadanya akan memperhalusi dan mengkaji silibus BTN, khususnya modul-modul sedia ada supaya mengikut kehendak semasa selain meneliti keperluan memperkenalkan silibus baru seperti Negara Bangsa dan sebagainya.

"Ia akan dianggotai khususnya oleh ahli akademik," katanya dalam kenyataan hari ini.

Jawatankuasa kecil kedua pula, akan melihat aspek pengurusan persepsi khususnya dalam kalangan anak muda serta respons belia terhadap negara bangsa dari konteks tugas dan tanggungjawab mereka yang mana pendapat dan suara belia sendiri akan diambil kira.

Azalina menarik perhatian bahawa satu perjumpaan meja bulat telah diadakan sebelum ini, ke arah melaksanakan satu perubahan terhadap pendekatan yang dibuat BTN dalam usaha meningkatkan semangat patriotik terhadap negara.

Beliau berkata mesyuarat meja bulat kedua dalam bentuk bengkel akan diadakan bulan depan.

Katanya anggota panel yang dilantik tidak terlibat dalam aspek dasar dan pentadbiran BTN secara langsung, dan penglibatan mereka dari aspek memberi input cadangan penambahbaikan modul serta pengurusan persepsi tertakluk kepada jawatankuasa masing-masing.

"Selepas itu, semua cadangan ini akan dikemukakan kepada Jemaah Menteri untuk kelulusan," katanya.

Dalam pada itu, Azalina berkata kerajaan mahu rakyat lebih peka kepada ancaman terhadap keselamatan negara terutama dalam kalangan generasi muda yang dilihat kurang sensitif.

Beliau berkata adalah penting peranan rakyat sebagai mata dan telinga kerajaan dipertingkatkan bagi menghadapi ancaman baru terhadap keselamatan dan kedaulatan negara.

"Ini ditambah lagi dengan perbuatan yang tidak menggambarkan rasa hormat ke atas simbol negara seperti memijak gambar pemimpin selain ancaman terkini seperti pengebom bunuh diri Daesh dan insiden penculikan di pantai timur Sabah," katanya.

- Bernama