Himpunan Ulama Asia meminta mufti dan ulama di negara ini supaya menghentikan polemik mengenai pengurusan jenazah umat Islam di Aceh dan menyerahkan perkara itu kepada ulama Aceh dan pihak berkuasa agama Islam Indonesia.

Pengerusi Sekretariatnya, Abdul Ghani Samsuddin berkata, biarlah ulama Aceh yang menguruskan pengkebumian jenazah umat Islam yang terkorban dalam bencana tsunami pada 26 Disember lalu.

Katanya, Majlis Ulama Indonesia boleh menangani masalah tersebut kerana mereka mempunyai ribuan ahli. termasuk juga di Aceh dan mereka juga berpengalaman berdepan dengan peristiwa seperti ini.

"Jika ulama dan mufti di Malaysia mencampuri urusan tersebut, dikhuatiri ia menimbulkan kekeliruan di kalangan umat Islam, bukan sahaja di negara kita tetapi juga di Aceh.

"Kita perlu meyakini bahawa ulama Aceh dan ulama dari Majlis Ulama Indonesia cukup berwibawa dan pengetahuan mereka tentang Islam diakui oleh semua orang di seluruh dunia," katanya.

Abdul Ghani yang juga bekas Presiden Persatuan Ulama Malaysia (PUM), berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai pendapat berbeza antara mufti-mufti di Malaysia mengenai kaedah pengurusan jenazah umat Islam mangsa tsunami di Aceh.

Mufti Perak, Datuk Harrusani Zakaria dilaporkan berkata, mayat boleh dibakar untuk mengelakkan penyakit yang boleh membahayakan orang yang hidup, tetapi menanam mayat adalah yang perlu diutamakan.

Agihan secara adil

Manakala Mufti Johor Datuk Noh Gadut pula dilaporkan berkata, mayat umat Islam wajar dihormati dan ia perlu dimandi, dikafan, disolat dan ditanam.

Oleh itu, katanya, membakar mayat tidak dibenarkan dalam Islam kerana ia menyeksa mayat tersebut, selain meniru amalan agama lain.

Sementara itu, Abdul Ghani berkata, dalam Islam, bantuan perlu diagihkan secara adil dengan mengutamakan mangsa yang benar-benar memerlukannya.

Katanya, tidak guna kita menghantar bekalan bertimbun tetapi tidak mengenai sasaran, kerana mungkin disebabkan pilih kasih dan tidak ada ketelusan.

"Adalah lebih baik bagi negara penderma, terutama negara Islam memberi keadilan ekonomi kepada Indonesia dengan melupuskan hutang luar negara tersebut," katanya.

Beliau berkata, inilah masanya bagi negara Islam untuk menunjukkan persahabatan dengan Indonesia dengan melupuskan hutang luar mereka.