Sekumpulan kecil kira-kira 30 orang mengadakan bantahan terhadap Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPPA) di hadapan bangunan Parlimen, pagi ini.

Mereka hadir untuk terus memberi tekanan terhadap anggota parlimen bagi mengundi menolak perjanjian kontroversi dengan Amerika Syarikat dan negara-negara serantau itu.

"Kami di sini bukan nak buat kacau, kami di sini hanya nak tunjuk perasaan sahaja," kata Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pasir Pinji Howard Lee selepas ditemui seorang pegawai polis, dipercayai mahu mereka beredar.

Wakil rakyat DAP itu ketika ditemui Malaysiakini berkata beliau hadir bukan untuk membuat kacau.

Tunjuk perasaan bagi membantah TPPA pagi ini bermula sekitar jam 9.45 pagi dengan dihadiri aktivis mahasiswa dan beberapa aktivis masyarakat dan berakhir kira-kira jam 11 pagi.

Mereka juga turut melaungkan "Hidup rakyat", "Tolak TPPA" setiap kali anggota parlimen melalui Jalan Parlimen bagi memasuki Dewan Rakyat.

Naib Ketua Pemuda AMANAH, Shazni Munir Mohd Ithnin dalam kenyataan sebelum ini menyeru rakyat negara berkampung di sekitar bangunan Parlimen untuk memastikan semua anggota parlimen mengundi menolak TPPA berkenaan.

Sementara itu, seorang aktivis Nasitah Md Noor, 50, berkata beliau hadir hari ini kerana merasakan rakyat masih belum sedar dengan bantahan sama yang lebih besar Sabtu lalu di ibu negara.

Justeru, Nasitah berkata rakyat wajib tahu bahawa TPPA adalah bentuk penjajahan baharu antara rakyat Malaysia dan syarikat multinasional yang berpangkalan di negara maju.

"Rakyat Malaysia tidak akan rasa susah dan tak akan sedar akan ancaman TPPA selagi mereka boleh makan dan bayar petrol," katanya kepada Malaysiakini.

Dewan Rakyat hari ini mengadakan Sidang Khas Parlimen bagi membincangkan TPPA.