Mukhriz pertahan jawatan demi rakyat
Datuk Seri Mukhriz Mahathir berikrar akan mempertahankan kedudukannya sebagai menteri besar walaupun ditawarkan jawatan menteri.
Menurut anak bekas perdana menteri itu, beliau yakin tidak terlibat dalam sebarang skandal dan rasuah.
Justeru, katanya, cubaan menyingkirkannya daripada jawatan menteri besar hanya disebabkan beliau sering berulang-alik ke Kuala Lumpur tidak kukuh.
Menurut beliau, keributan tiba-tiba yang berlaku di Kedah kini bukan saja disebabkan sikapnya yang bercakap benar tetapi kesan daripada pemimpin parti yang enggan mendengar kebenaran.
Laporan Sin Chew Daily menyatakan, Mukhriz berkata beliau memimpin kerajaan negeri dengan integriti.
Mukhriz berucap kepada penyokongnya di Alor Setar malam tadi.
Beliau yang pernah dilantik sebagai Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri sebelum bertanding untuk kerusi DUN menjelang pilihan raya umum lalu turut menggesa media tidak membuat spekulasi mengenai tokoh yang akan mengangkat sumpah sebagai menteri besar.
Hakikatnya, kata Mukhriz, tiada sesiapa yang sudah bertemu Jemaah Pemangku Sultan Kedah.
Sehingga kini, katanya, beliau masih menteri besar dan akan mempertahankan jawatan itu kerana tidak mahu mengkhianati kepercayaan diberikan rakyat Kedah.
Krisis itu juga, katanya, menjadi peringatan kepada menteri besar dan ketua menteri di negeri lain.

