Syed Husin: Siasat unsur-unsur khianat
Parti Keadilan Rakyat (PKR) meminta penyiasatan yang menyeluruh dijalankan segera berikutan kejadian bekalan elektrik terputus di beberapa negari di Semenanjung Malaysia semalam.
Parti Keadilan Rakyat (PKR) meminta penyiasatan yang menyeluruh dijalankan segera berikutan kejadian bekalan elektrik terputus di beberapa negari di Semenanjung Malaysia semalam.
Timbalan Presiden PKR, Dr Syed Husin Ali berkata, siasatan itu perlu bagi mengenalpasti sebab-sebab sebenar berlakunya kejadian tersebut.
Beliau mencadangkan siasatan itu mengambil kira pelbagai aspek, termasuk faktor khianat yang oleh mereka yang tidak bertanggungjawab dengan motif yang tertentu.
"Pertama, adakah berlaku boikot oleh kakitangan Tenaga Nasional Berhad (TNB)? Kedua, adakah benar berlakunya penyambungan haram di Stesen Janakuasa Tuanku Jaafar, Port Dickson, Negeri Sembilan oleh Syarikat RP Jaya Sdn Bhd? Ketiga, adakah benar samseng digunakan untuk melakukan kerja-kerja penyambungan haram di stesen janakuasa tersebut?
"Keempat, adakah benar bahawa RP Jaya ada membuat kontrak penyambungan dengan TNB pada bulan Oktober tetapi TNB tidak membuat pembayaran kepada syarikat tersebut? Kelima, siapkah pemilik Syarikat RP Jaya Sdn Bhd ini?," tegas Syed Husin.
Dalam kenyataannya kepada malaysiakini , Syed Husin berkata, kejadian bekalan elektrik terputus adalah serius dan perlu disiasat bagi mengelak kejadian serupa berulang.
Kesesakan lalulintas
Separuh Semenanjung Malaysia terputus bekalan elektrik selama satu jam semalam mengakibatkan berlakunya kesesakan lalulintas yang teruk di bandar-bandar utama, manakala beribu-ribu penumpang komuter dan LRT terkandas.
Bekalan elektrik terputus pada jam 12.20 di wilayah tengah dan selatan, menjejaskan bekalan ke Lembah Klang, Seremban, Melaka dan Johor Bahru.
Bagaimanapun, bekalan disambung semula secara berperingkat-peringkat pada jam 1.25 petang.
Sepanjang tempoh berkenaan, kakitangan stesen LRT telah mengosongkan penumpang sebelum menutup terus stesen-stesen terbabit.
Perkhidmatan telefon talian dan telefon bergerak turut terjejas dan pusat pengendali kerosakan Tenaga Nasional Berhad (TNB) juga tidak dapat dihubungi.
Bagaimanapun, kawasan di utara semenanjung termasuk Ipoh dan Pulau Pinang tidak mengalami masalah bekalan elektrik.

