Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menjelaskan tindakannya merujuk keputusan Peguam Negara Tan Sri Mohamed Apandi Ali kepada Panel Penilaian Operasi (PPO) merupakan amalan biasa.

Pengarah Komunikasi Strategik SPRM, Datuk Rohaizad Yaakob berkata, ia berikutan kebimbangan keputusan untuk merujuk kes melibatkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak kepada panel bebas itu disalahtafsir.

"Justeru tindakan merujuk kes perdana menteri kepada panel ini adalah satu proses biasa dan tidak sepatutnya ditafsir sebagai menolak keputusan yang diputuskan peguam negara.

"Selain itu, SPRM turut menegaskan bahawa sebarang kenyataan yang dibuat oleh mana-mana individu bukanlah pandangan rasmi SPRM," katanya pada kenyataan media.

Terdahulu, SPRM melalui kenyataan media hari ini mahu keputusan peguam negara yang mengarahkan badan itu menutup kes SRC International Sdn Bhd dan dana RM2.6 bilion membabitkan perdana menteri dirujuk kepada PPO.
PPO merupakan badan bebas yang dibentuk oleh kerajaan bagi memantau perjalanan SPRM mengikut Akta SPRM 2009.

SPRM menyebut pengurusan tertinggi mereka dalam mesyuarat khasnya hari ini turut memutuskan untuk membentangkan keputusan peguam negara itu kepada sebuah lagi panel khas yang akan dilantik untuk penilaian dan pertimbangan.

PPO dipengerusikan Tan Sri Dr Hamid Bugo dan dianggotai Tan Sri Jawhar Hassan, Datuk Zamani Abdul Ghani, Datuk Azizah Arshad, Datuk Wan Abdul Wahab Abdullah, Profesor Dr Normah Omar, Dr Sundramoorthy M.Pathmanathan dan Lim Chee Wee.