Masih banyak lagi mayat di Banda Aceh belum diuruskan
Kekurangan tenaga sukarelawan untuk membantu mengeluarkan mayat mangsa yang terperangkap di bawah runtuhan bencana tsunami, melambatkan proses memulihkan wilayah Aceh yang teruk dilanda bencana itu 26 Disember lalu.
Kekurangan tenaga sukarelawan untuk membantu mengeluarkan mayat mangsa yang terperangkap di bawah runtuhan bencana tsunami, melambatkan proses memulihkan wilayah Aceh yang teruk dilanda bencana itu 26 Disember lalu.
Sehingga ini, hanya terdapat kira-kira 100 pasukan sukarelawan bebas dan dari kalangan badan bukan kerajaan, yang membantu pihak berkuasa Indonesia mencari mayat mangsa bencana itu di sekitar banda Aceh.
Mengikut media tempatan, 78,000 mayat telah ditemui setakat ini manakala 17,000 lagi dipercayai masih berada di bawah timbunan runtuhan.
Cakra Ahcmad, yang mengetuai sebuah pasukan sukarelawan yang membantu operasi tersebut, turut mendapatkan bantuan sukarelawan Malaysia.
"Terdapat 1,000 sukarelawan daripada 100 pasukan, tetapi jumlah itu jauh daripada mencukupi," katanya ketika ditemui.
Mohamad Zharif Afandi, rakyat Malaysia yang cacat anggota, yang turut menganggotai pasukan Cakra, berkata mayat mangsa perlu dikeluar dan dikebumikan supaya penduduk dapat pulang untuk menerus kehidupan harian mereka.
Bau mayat
"Menyumbang wang dan makanan memang dipuji, tetapi saya bimbang ianya tidak mencukupi. Bagi saya, membantu mereka menguruskan mayat-mayat tersebut juga penting," kata pelajar psikologi dari Kolej Damansara Utama itu, yang dilahirkan tanpa tangan.
"Bagaimana penduduk hendak pulang ke rumah atau premis perniagaan mereka, atau apa yang masih tinggal, jika ianya dipenuhi bau mayat," tambahnya.
Zharif, yang berumur 20-an, berkata rakyat Malaysia yang menjadi jiran terdekat Aceh, perlu memainkan peranan penting dalam membantu wilayah terbabit.
Menurutnya, selain dirinya dan seorang lagi sukarelawan Malaysia, Ellyn H Lamin, beliau belum bertemu dengan kumpulan lain yang turut membantu mengeluarkan mayat mangsa.
Ellyn berkata, dengan menyertai kumpulan-kumpulan sukarela tersebut, tidak bermakna yang mereka perlu menguruskan mayat mangsa di sana.
"Mereka yang tidak bersedia berbuat demikian, boleh membantu mengendalikan aktiviti lain, pengangkutan atau paling mudah, memasak untuk sukarelawan lain atau membersihkan pejabat," tambahnya.
Menurutnya, kerana bahasa dan budaya yang sama, sukarelawan Malaysia mudah membantu mangsa-mangsa di sana.
Bacaan doa
"Saya amat mengharapkan lebih ramai rakyat Malaysia, terutama belia, datang sebagai sukarela. Bagi saya, kegigihan Zharif memberi sumber semangat kepada saya setiap hari. Walaupun kekurangan, beliau cukup banyak membantu pasukan kami," tambahnya.
Aktiviti kumpulannya bermula pada jam 2 petang apabila anggota pasukan itu mula memakai sarung tangan getah, pakaian keselamatan, kasut getah dan penutup muka.
Ini diikuti dengan bacaan doa oleh penyelaras pasukan itu, Winarson Puspojudu, yang lebih mesra dengan panggilan nama'Pak Dey'. Sukarelawan kemudiannya dibawa ke lokasi dengan lori.
Mereka pulang kira-kira jam 7 malam dan anggotanya akan membersihkan pakaian dengan ubat pembunuh kuman. Kemudian Pak Dey membaca doa kesyukuran kerana mereka selamat pulang, serta memohon keampunan jika mereka melakukan sebarang kesilapan sewaktu menjalankan tugas masing-masing.
Semalam, anggota pasukan itu pergi ke Punge Blang Cut, di timur Banda Aceh, di mana mereka menghabiskan masa kira-kira tiga jam, tetapi hanya berjaya menemui enam mayat.
Menurut Pak Dey, adalah sukar sekali untuk mengeluarkan mayat-mayat tersebut dari bawah runtuhan.
"Biasanya, ia mengambil masa empat hingga lima minit untuk memasukkan mayat ke dalam beg plastik. Tetapi dalam operasi ini, kami mengambil masa 45 minit, hanya untuk mengeluarkan mayat dari bawah runtuhan," katanya.
Kesan psikologi
Ada mayat-mayat yang ditemui tersangkut pada bumbung bangunan yang rosak teruk manakala yang lainya dijumpai di dalam kenderaan yang di bawah timbunan kayu dan batu-bata.
Pak Dey menganggarkan sekurang-kurangnya tiga bulan lagi diperlukan untuk menyelesaikan proses pengurusan mayat-mayat di sana. Setakat ini anggota pasukannya berjaya menemui 400 mayat.
"Kami memerlukan lebih ramai sukarelawan. Banyak lagi kerja yang perlu dilakukan," tegasnya.
Sementara itu, Elyn berkata sukarelawan bertugas secara berperingkat-peringkat. Setiap kumpulan bertugas selama kira-kira 10 hari sebelum digantikan oleh orang lain.
Menceritakan mengenai pasukannya, Ellyn berkata kumpulan 20-25 sukarelawan diperlukan untuk bertugas selama 10 hari sebelum digantikan oleh kumpulan lain. Pada masa ini, usaha mencari mayat dikendalikan kumpulan ketiga dalam pasukan tersebut.
Katanya, Pak Dey menghadkan tempoh bertugas setiap sukarelawan kepada 10 hari bagi mengelak sebarang kesan psikologi terhadap mereka.
Ditanya tentang perasaan mereka apabila menguruskan mayat-mayat mangsa, Ellyn dan Zharif berkata memang sukar untuk melihatnya, terutama mayat kanak-kanak, tetapi dengan bantuan anggota lain, mereka dapat melakukannya.
"Hari pertama agak teruk. Saya terpaksa mengambil masa untuk 'menyesuaikan' diri dengan keadaan di sini. Malah saya sendiri takut untuk bergerak kerana takut terpijak mayat mangsa. Tetapi pada hari kedua dan hari-hari seterusnya, saya semakin yakin untk membantu anggota pasukan ini mencari mayat mangsa," kata Zharif.
Ellyn pula berkata, sehingga ini tiada seorangpun anggota kumpulan itu yang mengalami kesan psikologi daripada keadaan di sana. Terdapat dua tiga kali di mana ada sukarelawan yang tidak dapat menahan perasaan mereka ketika melihat mayat mangsa, terutamanya mayat kanak-kanak.
"Pernah seorang sukarelawan dari Aceh yang kehilangan beberapa orang sepupunya dalam bencara tsunami, tidak dapat menahan perasaannya, kerana selalu terkenang mungkin sepupu-sepupunya itu adalah antara mayat-mayat tersebut," tambahnya.
----------------------------------------------------------------------------
Ketua Pemberita malaysiakini Arfa'eza A Aziz kini berada di Aceh bersama Yayasan Amal Malaysia.

