Kerajaan Melaka telah menyenaraikan tiga anak Ketua Menteri Datuk Seri Mohd Ali Rustam dan isterinya sebagai 'perwakilan rasmi' dalam lawatan sambil bekerja ke Amerika Syarikat yang menelan belanja RM1 juta.

Nama isteri beliau, dua anak lelaki dan seorang anak perempuannya terdapat dalam senarai 23 perwakilan rasmi yang kini sedang dalam lawatan ke Amerika. Lawatan 15 hari itu bermula 4 Januari lalu.

Anggota lain rombongan tersebut yang diketuai oleh Gabenor Melaka, Tun Khalil Yaakob, termasuklah Ketua Menteri, Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Ahmad Rusli Joharie, Ahli Exco Negeri Datuk Poh Ah Tiam dan isteri-isteri mereka.

Yang lain ialah ialah kakitangan kerajaan negeri, dua orang kontraktor dan dua wartawan Bernama .

Dua kontraktor berkenaan adalah pegawai tinggi syarikat yang berjaya mendapatkan kontrak jutaan ringgit untuk memajukan Sungai Melaka untuk tujuan pelancongan.

Hanya satu 'aturcara' rasmi

Menurut salinan aturcara lawatan tersebut, rombongan 23 anggota itu akan melawat Hawaii, San Antonio, Houston, New Orleans dan Miami serta membuat persinggahan transit di London dan Dubai, sewaktu dalam penerbangan pulang ke Malaysia.

Sepanjang lawatan sambil bekerja itu, rombongan tersebut hanya mempunyai satu aturacara rasmi yang telah disahkan, iaitu pertemuan dengan Lt Gobenor Hawai, James R Alona Jr.

Aturcara lain "lawatan rasmi' tersebut ialah lawatan ke Pearl Harbour, San Antonio riverwalk, French Quarters, Millionaires Row di New Orleans, Taman Negara Everglades di Miami and Pusat Perubatan Houston.

Bagaimanapun, Ali Rustam yang memenangi jawatan Naib Presiden Umno baru-baru ini, pulang ke Malaysia Rabu lalu untuk menghadiri majlis yang dihadiri Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi semalam. Beliau kemudiannya berlepas semula ke Dubai untuk menyertai semula rombongan tersebut.

Aturcara lawatan itu juga menunjukkan, Rabu lalu, iaitu hari ketiga lawatan, Gabenor Melaka dijadualkan dan diperuntukkan masa enam jam untuk bermain golf di Oahu Golf Country Club di Honolulu.

Ketika Khalil bermain golf, anggota lain rombongan itu dijadualkan menghadiri mesyuarat yang menurut jadual itu belum disahkan dengan Lembaga Pelancongan Hawai dan Kumpulan Pembangunan Bersepadu Hawai.

Manakala yang mereka yang tidak terbabit dengan mesyuarat tersebut menyertai lawatan berpandu di sana.

Apabila mesyuarat selesai dan Khalil habis bermain golf, rombongan tersebut akan melawat pantai Waikiki, Hanauma Bay Lookout dan mercutanda termasyhur di Hawaii, Diamond Head.

Manakala dalam penerbangan pulang ke Malaysia, rombongan tersebut akan transit di Dubai dan menghabis dua setengah hari (16 dan 17 Januari), walaupun tiada sebarang aturcara rasmi diatur di sana.

Pada hari pertama di ibukota UAE itu, mereka akan dibawa meninjau sekitar bandaraya itu. Pada hari kedua, mereka akan melawat tiga tempat popular bandaraya Internet, bandaraya media and kepulauan palm.

"Misi' mereka di ketiga-tiga tempat tersebut 'belum lagi disahkan' sepertimana yang dicatat dalam jadual tersebut.

Sepanjang tempoh tiga dua minggu di Amerika dan Dubai, 23 anggota rombongan tersebut menginap di hotel-hotel mewah seperti Hilton Hawaii Village Beach serta di Hotel Le Royal Meridien Beach Resort.

'Satu percutian'

Salinan jadual dan aturcara lawatan rombongan tersebut diperolehi Setiausaha Agung Dap Lim Guan Eng melalui satu sumber baru-baru ini.

Beliau mempersoalkan tujuan lawatan tersebut yang turut disertai oleh isteri dan anak-anak mereka di mana kos bagi setiap anggota rombongan tersebut dianggarkan RM60,000.

"Adakah wajar bagi ahli exco, isteri dan anak-anak mereka dibayar sama untuk menyertai lawatan rasmi seperti ini, yang lebih merupakan satu rekreasi?" soalnya.

Pada pandangannya, Lim berkata, Ketua Menteri perlu memberi penjelasan terperinci mengenainya.

"Beliau memberi memberitahu justifikasinya. Adalah ini boleh dianggap sebagai salahguna kuasa? Apakah faedahnya lawatan seumpama ini kepada rakyat Melaka?" soalnya lagi.

Lim, yang juga bekas Ahli Parlimen Kota Melaka, turut mempertikaikan mengapa dua exco kerajaan negeri yang bertanggungjawab dalam bidang pelancongan, tidak turut sama dalam lawatan tersebut, jika lawatan itu berkaitan dengan industri pelancongan di negeri itu.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan dan Kebudayaan Melaka ialah Datuk Amid Nordin dan timbalannya Chua Peng Siong tidak disenaraikan dalam lawatan tersebut.

"Kerajaan Negeri Melaka kini tidak 'berkepala' kerana semua pegawai kanannya menyertai rombongan tersebut," dakwanya.

Malaysiakini berusaha untuk mendapat ulasan pegawai-pegawai kerajaan di Melaka, termasuk Amid, mengenai perkara itu, tetapi tidak berjaya dihubungi.

Tiada satupun daripada enam talian telefon di pejabat Ketua Menteri dan Setiausaha Kerajaan Negeri dijawab ketika dihubungi antara jam 2.40 petang dan 3.40 petang.

Ditanya sama ada beliau akan membuat laporan kepada Badan Pencegah Rasuah (BPR), Lim berkata ia adalah salah satu pilihan, tetapi berkata beliau akan menunggu Ali Rustam pulang untuk mendapatkan penjelasan daripadanya.

Pada bulan Disember 2003, Lim mendedahkan rancangan Majlis Perbandaran Alor Gajah di Melaka untuk menganjurkan lawatan sambil belajar, yang didakwanya sebagai 'percutian' ke Australia.

Bagaimanapun, lawatan yang menelan belanja RM100,000 itu dibatalkan selepas isu itu disiarkan oleh pihak media.