Hasrat pengerusi baru Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Datuk Seri Mohd Hashim Abdullah untuk membuat kunjungan hormat kepada NGO, termasuk BERSIH disambut baik.

Malah, pengerusinya Maria Chin Abdullah berkata BERSIH telah menyediakan senarai bagi mereformasikan undang-undang pilihan raya di negara ini.

"Memang sedia (datang). Boleh datang ke pejabat baru BERSIH.

"Kita sudah siap sedia suatu senarai untuk reformasikan undang-undang pilihan raya dan harap pertemuan ini adalah regular - quarterly ," katanya kepada Malaysiakini .

Hashim pagi ini berkata akan mengadakan kunjungan hormat kepada beberapa NGO dan stesen TV dan NGO bagi memberi penjelasan mengenai peranan SPR.

Ditanya sama ada lawatan terhadap NGO akan termasuk BERSIH, beliau berkata: "Ya, semua NGO”.

Hashim dalam penjelasannya selepas itu berkata kenyataan beliau bersifat umum dan tidak ditujukan khas kepada BERSIH selain berharap ia tidak disalah tafsir.