Seorang bekas pengusaha taska agama dijatuhi hukuman penjara dua tahun oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini selepas mengaku bersalah terhadap pertuduhan cuba memberi sokongan kepada kumpulan pengganas IS, dua tahun lepas.

Hakim Datuk Ab Karim Ab Rahman turut memerintahkan tertuduh Nazhatulshima Sahak, 46, menjalani hukuman itu bermula dari tarikh tangkap pada 13 Oktober 2014.

Ab Karim berkata kesalahan yang melibatkan keganasan adalah satu kesalahan serius yang memerlukan perhatian daripada mahkamah.

"Dalam hal ini awak (tertuduh) belum lengkap melaksanakan kesalahan ini, oleh itu tuduhan hanyalah cubaan, awak bertuah kerana tidak lagi laksanakan, jika laksanakan hukuman lebih berat," katanya.

Nazhatulshima yang merupakan ibu kepada empat orang anak didakwa cuba memberi sokongan kepada kumpulan pengganas IS dengan cara membeli tiket penerbangan pesawat Emirates dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) ke Istanbul, Turki, untuk memasuki Syria melalui Istanbul bagi manfaat kumpulan pengganas itu.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu di Restoran Hakim Sdn Bhd, Jalan Zikron E7/E, Seksyen 7, Shah Alam pada 13 Okt 2014, pukul 10.50 malam, mengikut Seksyen 130J(1)(a) Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 15 tahun atau denda dan boleh dirampas mana-mana harta yang telah digunakan atau diniat untuk digunakan bagi melakukan kesalahan itu.

Mengikut fakta kes, pada 2014, wanita itu mula mengambil tahu mengenai IS selepas menonton video dari laman sesawang YouTube dan dia juga memberitahu suaminya Amir Azlan Zainudin dan dua anaknya mengenai keinginannya untuk berpindah dan tinggal di Syria di bawah pemerintahan IS.

Pada 25 September 2014, tertuduh telah membeli tiket penerbangan pesawat Emirates secara dalam talian untuk perjalanan pada 15 Oktober 2014 pukul 4.30 petang dari KLIA ke Dubai dan seterusnya menaiki pesawat Emirates dari Dubai ke Istanbul, Turki, serta tiket perjalanan pada 31 Oktober 2014 pukul 4.05 petang dari Istanbul-Dubai-KLIA, dengan membayar sebanyak RM2,843 untuk perjalanan itu.
Sebagai persiapan tertuduh untuk berpindah ke IS, dia telah menjual kereta Perodua Myvi dengan harga RM10,000 serta perniagaan miliknya iaitu sebuah tadika dan sebuah taska dengan harga RM70,000, pada penghujung September 2014.
Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Mohd Nordin Ismail memohon mahkamah memberikan hukuman yang setimpal memandangkan keganasan adalah satu jenayah yang semakin berleluasa ketika ini.
Peguam Farida Mohammad pula berkata ini merupakan kesalahan pertama anak guamnya dan sepanjang tempoh penahanan sejak 13 Oktober 2014 tertuduh amat tertekan dan insaf serta mahu kembali ke pangkuan keluarga.

Pada 26 Jan lepas, suaminya dijatuhi hukuman penjara dua tahun oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur selepas mengaku bersalah terhadap pertuduhan cuba memberi sokongan kepada kumpulan pengganas IS, dua tahun lepas.

-Bernama