Kawasan bermula dari bandaraya Kuching sehingga Sibu dan Mukah dijangka mengalami gangguan bekalan elektrik mulai 7.30 pagi hingga 5 petang esok.
Menurut notis dikeluarkan Sarawak Energy Group, gangguan itu disebabkan kerja baik pulih oleh anak syarikatnya Syarikat Sesco Berhad ke atas talian transmisi Kemena-Selangau yang mengalami kerosakan pada 23 Jan lalu.
Fokus akan diberikan bagi memulihkan bekalan elektrik secepat mungkin sekiranya berlaku gangguan di kawasan-kawasan tersebut, menurut notis itu.
Menurutnya, kerja baik pulih talian transmisi itu bagaimanapun akan ditunda ke satu tarikh lain sekiranya keadaan cuaca tidak mengizinkan.
Orang ramai boleh menghubungi pusat khidmat pelanggan syarikat di talian 1300 88 3111 untuk maklumat lanjut atau sebarang pertanyaan berhubung gangguan elektrik itu.
- Bernama
