Seramai 30 warga asing dipenjara miliki IC palsu
Seramai 28 warga Filipina berbangsa Sulu dan dua warga Indonesia dihukum penjara antara tiga hingga lima bulan oleh tiga Mahkamah Majistret Kuantan hari ini atas kesalahan menggunakan kad pengenalan (IC) palsu.
Kesemua mereka terdiri daripada 27 lelaki dan tiga wanita, berumur antara 18 hingga 55 tahun, diarah menjalani hukuman berkenaan bermula daripada tarikh mereka ditangkap iaitu pada 21 Januari lalu.
Tertuduh mengaku bersalah menggunakan kad pengenalan palsu pada pukul 1.10 pagi, 21 Januari lalu di sekitar Kampung Balok dan Sungai Karang Kuantan selepas ditangkap dalam operasi bersepadu antara Jabatan Imigresen dan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN).
Di Mahkamah Majistret satu, Majistret Rini Triany Mohamad Ali menjatuhkan hukuman itu ke atas 14 tertuduh manakala tiga lagi tertuduh dijatuhkan hukuman itu oleh Majistret Tuan Ruzuaini Tuan Lah di Mahkamah Majistret Khas Trafik di Kuantan.
Pendakwaan dikendalikan pegawai pendakwa daripada JPN Putrajaya Mohd Fazdlhy Abdul Razak, Mohd Ashgar Mohd Hussain dan Mokhzan Ariff manakala semua tertuduh tidak diwakili peguam.
- Bernama

