PAS sedia 3 penjuru di S'wak, kecuali dengan PKR
PAS memberi jaminan akan bertanding satu lawan satu di pilihan raya negeri (PRN) Sarawak.
Namun jaminan itu hanya dibuat terhadap PKR setelah perbincangan antara parti berkenaan.
"Kita tidak ada perbincangan dengan DAP.
“Kita akan bincang dengan PKR seboleh mungkin untuk tidak bertembung dengan PKR. Hanya dengan PKR sahaja," Pengarah Pilihan Raya PAS, Datuk Mustafa Ali.
Beliau berkata demikian kepada pemberita dalam sidang media di Ibu Pejabat PAS, hari ini.
Sementara itu, Timbalan Presiden PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man pula berharap agar DAP tidak meletakkan calon kawasan ditandingi parti Islam itu bagi mengelakkan pertembungan tiga penjuru berlaku.
"Kita harap DAP tidak masuk tempat PAS masuk supaya tidak timbul pertembungan," katanya.
Bagaimanapun, kata Tuan Ibrahim, sekiranya pertembungan tiga penjuru tetap berlaku, peluang mereka untuk menang masih ada.
"Kita tengok demografi. Demografi setiap DUN, kadang-kadang peluang untuk menang ada.
"Kadang-kadang tiga penjuru sekalipun, tidak bermakna peluang kita tidak ada. Kadang-kadang tiga penjuru itu, kita ada ruang untuk mencapai kemenangan," katanya.
Yakin kemenangan pertama
Sementara itu, Mustafa Ali yakin parti Islam itu akan mendapat 'anak sulung' dalam PRN Sarawak yang akan berlangsung April ini.
Katanya, dalam 11 kerusi yang dipertandingkan di negeri itu, pihaknya akan meletakkan seorang calon yang bukan beragama Islam dari Dewan Perhimpunan Penyokong PAS (DHPP).
“Tahap keyakinan kita memang tidak menang semua, tapi Insya-Allah ini kali pertama kita akan dapat anak sulung kita di Sarawak.
“Anak sulung ini sama ada seorang atau dapat anak kembar (dua kerusi),” katanya dalam sidang media di ibu pejabat PAS Kuala Lumpur hari ini.
PAS merancang meletakkan calon di 11 kawasan, berbanding lima kerusi sebelum ini, dalam PRN Sarawak dan bersedia menentang mana-mana calon termasuk daripada DAP.
Sembilan daripada kerusi itu merupakan kawasan lama Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak.
Manakala baki dua lagi kerusi merupakan kawasan baru selepas persempadanan semula bahagian pilihan raya.

