Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
AMANAH saran pekeliling henti mesyuarat waktu solat
Diterbitkan:  Feb 1, 2016 3:00 PM
Dikemaskini: 7:10 AM

Pemuda Parti Amanah Negara (AMANAH) menyarankan sebuah pekeliling khusus ditetapkan oleh Kementerian Pelajaran berkaitan pemberhentian sementara mesyuarat ketika waktu sembahyang.

Ini susulan kenyataan Timbalan Ketua Pengarah Pelajaran (Sektor Operasi Pendidikan) Datuk Ahmad Tajudin Jab supaya Jabatan Pendidikan Negeri, Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) dan sekolah memberi ruang kakitangan bersembahyang.

“Pemuda AMANAH Nasional dengan ini menyarankan agar pekeliling khusus ditetapkan oleh Kementerian Pelajaran Malaysia dan seterusnya akan menjadi motivasi yang baik kepada seluruh kakitangan kerajaan mahupun swasta yang lain.

“Segala usaha bagi menjadikan seseorang Muslim itu sebagai Muslim yang sejati, Pemuda AMANAH Nasional sentiasa menyokong penuh dan memandang dari sudut positif, kata naib ketua Pemuda AMANAH Mohd Fakhrulrazi Mohd Mokhtar ( gambar ).

Tajudin pada 27 Januari lalu dilapor berkata pihaknya terdapat sekolah yang hanya berhenti seketika semasa laungan azan sebelum meneruskan semula mesyuarat mereka.

Utusan Malaysia melaporkan beliau sebagai menggesa sikap itu dibuat kerana waktu bersolat hanya 15 minit.

Mengulas perkara itu, Fakhrulrazi berkata arahan tersebut selari dengan syariat yang ditetapkan dan sembahyang tidak seharusnya dilengah-lengahkan.

“Oleh yang demikian dengan mematuhi syariat, kakitangan pendidikan akan menjadi lebih tenang dan bersemangat dalam bekerja,” katanya.

Justeru, kata Pemuda AMANAH, saranan itu akan menjadi contoh kepada anak-anak murid seluruh sekolah dan seterusnya akan dipraktikkan secara terus di rumah atau di mana sahaja mereka berada.

“Sudah menjadi lumrah manusia apabila terlalu fokus dengan kerja maka ada perkara lain yang dilupai antaranya menunaikan solat.

“Bagi mendidik agar kehidupan diberkati maka Pemuda AMANAH Nasional menyambut baik saranan tersebut,” katanya lagi.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS