Mesyuarat berjalan, media dilarang masuki SUK Kedah
Pemberita hari ini tidak dibenarkan memasuki Wisma Darul Aman, bangunan setiausaha kerajaan negeri dan anggota exco.
Pertemuan antara anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) BN dengan Anggota Jemaah Pemangku Sultan Kedah dijadual di bangunan itu hari ini, dipercayai berkaitan kemelut kedudukan Menteri Besar Datuk Seri Mukhriz Mahathir.
Laman pro-BN melaporkan cakap-cakap bahawa sultan Kedah sudah memperkenan pertukaran menteri besar dan pengumuman akan dibuat oleh Datuk Seri Najib Razak selepas pertemuan itu.
Bagaimanapun, petugas media diberikan layanan mesra apabila makanan tengah hari disediakan.
Difahamkan ia dibekalkan oleh pengusaha restoran dikenali sebagai Ramli Hassan, yang dikatakan menyokong timbalan Mukhriz dalam Umno negeri, Datuk Ahmad Bashah Md Hanipah.
Bashah dua minggu lalu memimpin sidang media bagi menolak kepimpinan Mukhriz setelah serangan berterusan bapa beliau terhadap Najib.
Ketika berita itu ditulis, seluruh mata tertumpu ke Alor Setar bagi menantikan sama ada anak bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad akan tersingkir hari ini.

