'Sekolah tidak diarah larang Muhyiddin berucap'
Bekas Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin tidak dijemput secara rasmi di acara sukan di Subang Jaya minggu lalu dan hadir ke program itu sebagai tetamu peribadi, kata Kelab Sukan Komuniti Subang Jaya.
Presiden Kelab, Dr Mohd Nazir Abu Bakar berkata pentadbir Sekolah Menengah Kebangsaan USJ14, di mana acara itu diadakan tidak tahu Muhyiddin akan hadir ke acara itu.
"Oleh itu, kenyataan bahawa sekolah dan kelab diarah menghalang Muhyiddin daripada memberi ucapan, adalah sangat tidak tepat.
"Hanya pegawai kami dijadual memberi ucapan untuk perasmian. Kami percaya Muhyiddin menerima maklumat yang salah," kata Mohd Nazir dalam satu kenyataan.
Muhyiddin, dalam satu catatan di Facebook Ahad lalu berkata beliau dimaklumkan bahawa pihak sekolah menerima arahan tidak membenarkan beliau bercakap dalam acara itu.
Bagaimanapun kata Muhyiddin, beliau telah menjangkakan perkara itu dan sempat beramah mesra dengan tetamu yang hadir sebelum berangkat pulang.
Menurut Mohd Nazir, acara tersebut adalah pelancaran liga bola sepak untuk kanak-kanak berumur 6 hingga 14 tahun yang diuruskan oleh ibu bapa dan perlawanan diadakan di padang sekolah berkenaan.
"Liga kami, bagaimanapun, dijalankan secara berasingan daripada sekolah, dan bukan merupakan sebahagian daripada aktiviti sekolah," kata Mohd Nazir.

