Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
PAC: Jabatan audit tetap bentang laporan 1MDB bulan ini
Diterbitkan:  Feb 2, 2016 12:32 PM
Dikemaskini: 4:49 AM

Pengerusi Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) Datuk Hasan Ariffin hari ini menafikan laporan sebuah portal yang mendakwa Jabatan Audit Negara (JAN) gagal menepati tarikh pembentangan Laporan Akhir Terhadap Pengauditan 1MDB.

Menurut Hasan, laporan The Malay Mail Online yang memetik sumber tidak bernama yang mengatakan JAN gagal menepati tarikh pembentangan pada Februari ini sebagai tidak berasas.

Beliau mendakwa, laporan yang tidak bertanggungjawab itu bertujuan merosakkan reputasi dan kredibiliti PAC dan JAN yang sentiasa komited dalam melakukan pengauditan yang telus dan akauntabiliti terhadap 1MDB demi kepentingan rakyat.

Sehubungan itu, anggota parlimen Rompin itu menegaskan bahawa JAN akan tetap membentangkan laporan tersebut pada bulan ini.

"PAC menegaskan bahawa JAN akan tetap membentangkan Laporan Akhir Pengauditan 1MDB pada Februari ini.

"PAC mahu dan meminta semua pihak supaya meyakini dan percaya terhadap jawatankuasa ini. Lagipun jawatankuasa ini dianggotai ahli terdiri daripada pelbagai parti termasuk parti pembangkang.

"Tidak ada perkara yang harus dilindungi dan laporan PAC adalah berasaskan kepada maklumat yang tepat dan benar," kata Hasan dalam kenyataan medianya.

The Malaymail Online hari ini melaporkan, laporan tersebut tidak akan dibentangkan pada bulan ini tetapi pada Mac depan.

Sementara itu, Hasan juga menyatakan kekesalan terhadap Peguam Negara Switzerland yang didakwa memberi maklumat kepada media berhubung 1MDB.

Katanya, pihak berkuasa negara berkenaan sepatutnya terus berurusan dengan kerajaan Malaysia kerana pendekatan membuat kenyataan akhbar boleh menimbulkan banyak spekulasi dan tidak berasaskan kepada fakta yang tepat.

Lihat Komen
ADS