Husam: Musuh dengan saya, penghulu jadi mangsa?
Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Salor Husam Musa hari ini membangkitkan isu pelantikan semua penghulu dalam kawasannya yang didakwa tertangguh tanpa penjelasan.
Bekas naib presiden PAS yang kecundang dalam pemilihan tahun lalu itu bagaimanapun mengaitkannya isu itu dengan permusuhan terhadapnya sejak digugurkan sebagai exco Kelantan.
“Saya dimusuhi sejak hari pertama saya tidak dilantik sebagai exco dan kini permusuhan itu dilanjutkan kepada pihak lain yang tidak bersalah,” katanya.
Husam pernah dilantik exco ketika kepimpinan ikon PAS Datuk Nik Aziz Nik Mat sebagai menteri besar.
Beliau tidak tersenarai dalam era kepimpinan Datuk Ahmad Yakob, yang juga timbalan murysidul am PAS.
Dalam kenyataan hari ini, Husam bagaimanapun tidak menghuraikan lanjut berhubung dakwaan permusuhan yang dimaksudkannya itu.
Husam juga menggesa Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang membetulkan urusan kerajaan Kelantan yang ditadbir selari dengan pandangannya mengenai isu kemelut politik Kedah.
Lantikan penghulu tertangguh sebulan
Mengulas krisis itu, Hadi semalam berkata PAS berpegang kepada undang-undang serta asas demokrasi “yang berakhlak dan beradab” dalam menyelesaikan apa jua masalah.
“Apatah lagi sekiranya sebarang masalah yang berlaku itu akan menjejaskan pengurusan kerajaan sekali gus mengganggu kesejahteraan rakyat berbilang kaum yang ada,” beliau dipetik sebagai berkata dalam kenyataan.
Sementara itu, berkaitan isu pelantikan penghulu, Husam berkata ia telah tertangguh sejak sebulan lalu tanpa penjelasan.
“Saya juga adalah dipilih oleh rakyat dan atas logik yang sama bahawa perkhidmatan untuk rakyat jelata tidak harus terganggu, diskriminasi dan tekanan politik seperti itu ke atas jentera pentadbiran dan rakyat Salor tidak patut berlaku.
“Lebih-lebih lagi oleh kepimpinan ulama,” katanya lagi.
Husam antara pemimpin kanan PAS yang ditolak besar-besaran dalam pemilihan parti.
Tidak seperti sebahagian besar rakan sealirannya dalam parti itu yang membentuk Parti Amanah Negara (AMANAH), Husam memilih kekal bersama PAS.

