Lima puluh lima dewan perniagaan dan perindustriantempatan serta organisasi perdagangan hari ini menyuarakan bantahan keras mereka terhadap peningkatan mendadak levi ke atas pekerja asing yang diumumkan kerajaan tanpa sebarang rundingan.

Kumpulan berkenaan juga tidak berpuas hati dengan tindakan kerajaan untuk menjadikan levi pekerja asing sebagai sebahagian daripada hasil kerajaan.

"Kami berulang-kali telah menyatakan pandangan bahawa levi bukan sebahagian daripada hasil kerajaan tetapi sebaliknya perlu dikembalikan kepada industri berkenaan dengan tujuan sebagai latihan dan peningkatan kemahiran pekerja asing," kata Timbalan Setiausaha Agung Gabungan Dewan Perniagaan dan Perindustrian Cina Malaysia (ACCCIM), Datuk Teo Chiang Kok.

Kumpulan itu mencadangkan supaya kerajaan ‘membersihkan’ pekerja asing tanpa izin untuk meningkatkan pendapatan negara.

Menurut Teo, jika tindakan pembersihan ke atas empat juta pekerja asing tanpa izin di negara ini dipersetujui, ia akan membantu kerajaan mendapat pendapatan tambahan sebanyak RM5 bilion.

Bermula bulan ini, levi pekerja asing bagi sektor pembuatan dan pembinaan dinaikkan sehingga dua kali ganda iaitu antara RM1,250 kepada RM2,500.

Bagi sektor perkhidmatan kadar levi juga naik berbanding kadar sebelum ini pada RM1,850, manakala sektor perladangan dan pertanian pula perlu membayar RM1,500.

Bagaimanapun, penstrukturan semula itu tidak melibatkan levi pembantu rumah warga asing apabila kadarnya kekal pada tahap RM410.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi yang mengumumkan perkara ini, berkata, kajian semula terhadap kadar levi itu akan memberi pendapatan tambahan RM2.5 bilion kepada kerajaan.

[Baca berita penuh]