Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita

Selepas dua minggu pergolakan politik melanda Kedah, Datuk Seri Mukhriz Mahathir bersetuju untuk melepaskan jawatannya sebagai menteri besar.

Timbalan ketua badan perhubungan Umno Kedah, Datuk Ahmad Bashah akan menggantikan Mukhriz sebagai menteri besar yang baru.

Mukhriz membuat pengumuman itu dalam satu sidang media di pejabat pentadbiran negeri di Wisma Darul Aman hari ini, dan mengakhiri kemelut dalam kepimpinan Umno Kedah yang mahu beliau berundur.

Mukhriz mengambil keputusan untuk berundur selepas dimaklumkan oleh Jemaah Pemangku Sultan Kedah bahawa beliau telah hilang keyakinan majoriti ADUN di negeri ini.

Dua puluh satu ADUN BN dan 15 ADUN pembangkang di Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah telah menyuarakan pandangan mereka kepada Jemaah Pemangku Sultan Kedah pada hari Isnin dan Selasa lalu.

Pelantikan Ahmad Bashah sebagai menteri besar Kedah yang baru diumumkan dalam satu sidang media khas oleh Setiausaha Kerajaan Negeri Kedah, Datuk Bakar Din pagi ini.

Semalam, wakil rakyat pembangkang berkata mereka mahu krisis MB diselesaikan melalui undi tidak percaya terhadap Mukhriz di dewan undangan negeri.

Spekulasi bahawa Kedah akan mendapat MB baru hari ini bertiup kencang sejak semalam selepas Mukhriz membatalkan mesyuarat exco kerajaan negeri pagi ini.

Anak bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad itu menduduki kerusi berkenaan pada 6 Mei 2013 selepas Pilihan Raya Umum ke-13, di mana BN berjaya merampas negeri itu daripada PAS.

Bagi ramai pemerhati politik, Mukhriz adalah mangsa kepada perang mulut antara Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan Mahathir. Namun Umno Kedah mendakwa Mukhriz gagal menyatupadukan parti dan tidak mempunyai strategi membangunkan negeri itu.

Mahathir, yang pada satu masa menyokong Najib, kini telah menjadi pengkritiknya paling sengit, terutama selepas dakwaan penglibatan Najib dalam skandal 1MDB dan sumbangan RM2.6 bilion daripada keluarga diraja aRAB Saudi yang dimasukkan ke akaun bank peribadinya sebelum PRU13.

Lihat Komen
ADS