Ketua Audit: Tabung Haji mampu bayar dividen
Jabatan Audit Negara telah memberi jaminan bahawa Lembaga Tabung Haji (TH) akan membayar dividen kepada pendepositnya tahun ini.
"Berdasarkan semakan terhadap penyata pendapatan TH bagi tahun berakhir 31 disember 2015 dan maklumat interim yang diterima adalah didapati TH mampu untuk membuat pembayaran dividen kepada pendepositnya," kata Ketua Audit Negara, Tan Sri Ambrin Buang dalam satu kenyataan hari ini.
Ambrin berkata, semakan mereka terhadap Tabung Haji sebelum badan itu mengumumkan dividen adalah amalan biasa.
Ini adalah untuk memastikan bahawa polisi perakaunan yang digunakan oleh Tabung Haji adalah "konsisten dan mematuhi konsep berhemah", jelas beliau.
Sementara itu, Timbalan Presiden PAS, Tuan Ibrahim Tuan Man berkata wakil daripada parti itu telah mengadakan perbincangan dua hala dengan Tabung Haji mengenai isu ini.
"Alhamdulillah, lawatan dan dua jam perbincangan dua hala sangat berjaya dan PAS menghargai kesediaan TH untuk menerima lawatan kami dan menerangkan sesuatu kepada kita," kata Tuan Ibrahim dalam satu kenyataan berasingan hari ini.
Selepas mendengar penjelasan oleh Tabung Haji, Tuan Ibrahim berkata, beliau berharap mereka juga boleh memberikan penerangan yang jelas kepada rakyat untuk menyelesaikan isu-isu berkaitan lembaga itu.
Beliau juga berharap agar Tabung Haji yang disifatkan sebagai "institusi Islam terbesar dan paling penting di Malaysia", bebas daripada reputasi dan prestasi yang buruk.

