Mukhriz sepatutnya bubar DUN, kata Zaid
Bekas menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Zaid Ibrahim berkata, bekas menteri besar Kedah Datuk Seri Mukhriz Mahathir sepatutnya memohon untuk membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) ketika diasak menandatangani akaun bersumpah serta hilang sokongan.
Beliau berkata, perkara itu perlu dilakukan bagi memberi "amaran" kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak bahawa untuk menukar seorang menteri besar, ia bukan hanya memerlukan akuan bersumpah.
"Jika Mukhriz telah kehilangan sokongan, beliau sepatutnya memohon untuk membubarkan DUN. Biar Najib tahu bahawa dia perlu lebih sekadar akuan bersumpah untuk menukar menteri besar.
"Pembubaran adalah hak menteri besar yang sedia ada untuk meminta setelah dia kehilangan sokongan.
"Masalah dengan negara ini ialah Najib dilihat angkuh dan bijak kerana orang-orang yang menentang beliau tidak cekap dan lemah," kata Zaid di Twitternya hari ini.
Zaid berkata demikian sebagai mengulas pergolakan politik Kedah yang melihat Mukhriz akhirnya bersetuju untuk melepaskan jawatannya sebagai menteri besar dan digantikan oleh Timbalan Ketua Badan Perhubungan Umno Datuk Ahmad Bashah.
Tak lama lagi akan senyap
Selain itu, beliau juga secara sinis menyindir pemimpin Umno yang sebelum ini memberi kenyataan untuk tidak berdiam diri setelah diri mereka "dijatuhkan".
Bagaimanapun, katanya perkara itu tidak akan berlaku apabila kebanyakan pemimpin Umno itu telah "berdiam" diri.
"Pemimpin-pemimpin Umno selalu akan mula berkata mereka tidak akan berdiam diri. Tidak lama kemudian (mereka) akan senyap.
"Saya rasa, pada akhirnya, pemimpin yang kita ada merupakan pemimpin yang sesuai dengan kita kerana kita tidak berhak untuk dapat yang lebih baik," katanya.
Mukhriz membuat pengumuman letak jawatan sebagai menteri besar dalam satu sidang media di pejabat pentadbiran negeri di Wisma Darul Aman hari ini, dan mengakhiri kemelut dalam kepimpinan Umno Kedah yang mahu beliau berundur.
Mukhriz mengambil keputusan untuk berundur selepas dimaklumkan oleh Jemaah Pemangku Sultan Kedah bahawa beliau telah hilang keyakinan majoriti ADUN di negeri ini.
Dua puluh satu ADUN BN dan 15 ADUN pembangkang di DUN Kedah telah menyuarakan pandangan mereka kepada Jemaah Pemangku Sultan Kedah pada hari Isnin dan Selasa lalu.
Pelantikan Ahmad Bashah sebagai menteri besar Kedah yang baru diumumkan dalam satu sidang media khas oleh Setiausaha Kerajaan Negeri Kedah, Datuk Bakar Din pagi ini.

