Fasa pertama Johor Halal Park siap akhir tahun
United Malayan Land Bhd (UMLand) yakin dapat menyiapkan sepenuhnya fasa pertama projek pembangunan Johor Halal Park (JHP) yang bermula sejak 2014 di Pasir Gudang dekat Iskandar Puteri, menjelang akhir tahun ini.
Ketua Pegawai Eksekutif Tentu Teguh Sdn Bhd (TTSB), yang juga anak syarikat UMLand, Mohd Noor Abdul Salam berkata pembangunannya kini mencapai kemajuan 45 peratus.
Bercakap semasa sesi soal jawab selepas memberi penerangan kepada media mengenai perkembangan projek itu di sini semalam, katanya pembangunan fasa pertama JHP itu melibatkan tanah seluas 20.23 hektar.
Ia membabitkan pembinaan 89 unit kilang pelbagai jenis, 36 unit pejabat dan sebuah makmal sains bagi membantu syarikat tempatan dan luar negara berkecimpung dalam sektor halal.
Beliau berkata pembangunan JHP secara keseluruhannya menelan kos RM1.5 bilion dan melibatkan tiga fasa di tanas seluas 141.64 hektar.
Bagaimanapun, katanya fasa kedua hanya bermula pada pertengahan tahun ini dan dijangka siap pada 2018 manakala fasa ketiga dilaksanakan pada 2017 dan dijangka siap menjelang tahun 2020.
Mohd Noor berkata, di sebalik kelembapan ekonomi dan sentimen pelabur yang semakin 'berhati-hati, pihaknya menyifatkan JHP sebuah projek yang akan berjaya.
"Sektor halal merupakan potensi baharu bagi Malaysia, dan agensi kerajaan seperti Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) giat mempromosikan akreditasi halalnya bagi menarik ramai pelabur ke JHP," katanya.
Beliau berkata JHP dijangka menarik pelabur dari Timur Tengah, Eropah, China, Taiwan, Korea, Jepun dan Asia Tenggara.
- Bernama

