Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Penganalisis: Sukar bagi rakyat Kedah terima Bashah

Selepas pergolakan hampir dua minggu, Datuk Ahmad Bashah hari ini dilantik sebagai menteri besar yang baru bagi menggantikan Datuk Seri Mukhriz Mahathir.

Namun, bagi penganalisis politik, ia bukanlah permulaan yang baik bagi timbalan ketua badan perhubungan Umno Kedah itu.

Penganalisis politik, Dr Azizuddin Mohd Sani berkata ini kerana buat seketika ini agak susah untuk rakyat di negeri itu untuk menerima beliau sebagai menteri besar yang baru.

Justeru, Azizuddin berkata Ahmad Bashah perlu memperlihatkan prestasi beliau selaku menteri besar selari dengan kehendak rakyat selain menggesa kepimpinan Umno melibatkan diri mereka bagi meredakan kemarahan rakyat dengan apa yang berlaku selama dua minggu ini.

“Permulaan ini memang susah sikit rakyat nak terima Ahmad Bashah. Tapi kalau Ahmad Bashah perform dan rakyat dapat rasa nikmat pencapaiannya, rakyat akan berubah menyokong dia. Jadi prestasi dia penting.

“Semua kepimpinan Umno kena melibatkan diri dengan akar umbi untuk redakan keadaan,” kata Azizuddin kepada Malaysiakini.

Krisis politik Kedah dipercayai berakhir apabila Mukhriz hari ini akur untuk melepaskan jawatannya sebagai menteri besar dan digantikan oleh Ahmad Bashah.

Mukhriz membuat pengumuman itu dalam satu sidang media di pejabat pentadbiran negeri di Wisma Darul Aman hari ini, dan mengakhiri kemelut dalam kepimpinan Umno Kedah yang mahu beliau berundur.

Krisis berakhir?

Beliau mengambil keputusan untuk berundur selepas dimaklumkan oleh Jemaah Pemangku Sultan Kedah bahawa beliau telah hilang keyakinan majoriti ADUN di negeri itu.

Mengulas lanjut apakah pergolakan politik di negeri jelapang padi itu kini sudah berakhir atau pun baru sahaja bermula, pensyarah politik di Universiti Utara Malaysia (UUM) itu berkata ia bergantung sepenuhnya kepada pemimpin Umno sendiri.

“Sama ada ia (pergolakan) lebih teruk bergantung kepada pemimpin Umno sendiri.

“Macam mana pun MB baru perlu perkukuhkan Umno dan tarik semula rakyat menyokong BN. Tidak ada potensi sabotaj dalaman boleh berlaku,” kata Azizuddin.

Dua puluh satu ADUN BN dan 15 ADUN pembangkang di Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah telah menyuarakan pandangan mereka kepada Jemaah Pemangku Sultan Kedah pada hari Isnin dan Selasa lalu.

Semalam, wakil rakyat pembangkang berkata mereka mahu krisis MB diselesaikan melalui undi tidak percaya terhadap Mukhriz di dewan undangan negeri.

Spekulasi bahawa Kedah akan mendapat MB baru hari ini bertiup kencang sejak semalam selepas Mukhriz membatalkan mesyuarat exco kerajaan negeri pagi ini.

Anak bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad itu menduduki kerusi berkenaan pada 6 Mei 2013 selepas Pilihan Raya Umum ke-13, di mana BN berjaya merampas negeri itu daripada PAS.

Lihat Komen
ADS