Duta Besar Malaysia ke Switzerland Datuk Mohd Zulkephli Mohd Nor meninggal dunia di Bern pada jam 1.38 tengah hari waktu Malaysia kerana barah hati.

Allahyarham berusia 57 tahun.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Abdul Razak mengumumkan perkara itu di laman Facebook, hari ini.

“Innalillahiwainnailaihirajiun. Terima berita sedih bahawa Duta Besar Malaysia ke Switzerland, Datuk Mohd Zulkephli Mohd Noor telah kembali ke rahmatullah tengahari tadi.

“Takziah kepada keluarga Allahyarham, moga roh beliau dicucuri rahmat. Al-Fatihah,” kata Najib.

Mohd Zulkephli memulakan perkhidmatan sebagai Pegawai Tadbir dan Diplomatik pada 1984.

Beliau telah dilantik sebagai duta negara ke Switzerland pada 23 Januari 2014.

Sebelum tugasan itu, beliau adalah duta ke Turkmenistan dari tahun 2011 dan 2013.

Beliau juga berkhidmat sebagai duta di Libya sepanjang tahun 2009 hingga 2011.

Mohd Zulkephli pernah menjadi wakil tetap Malaysia ke PBB di Geneva dan adalah konsul besar Malaysia di Los Angeles, Amerika Syarikat.

Sementara itu, menurut kenyataan Wisma Putra, Kedutaan Besar Malaysia di Bern dengan bantuan Perwakilan Tetap Malaysia di Geneva, kini dalam proses menguruskan jenazah Allahyarham untuk dibawa pulang ke tanah air.

"Kementerian Luar mengucapkan takziah kepada isteri Allahyarham, Datin Anna Amalina Imam Baweh, dan lima anak mereka. "Semua jasa dan khidmat Allahyarham demi agama, bangsa dan negara sepanjang 32 tahun akan sentiasa dikenang," menurut kenyataan itu.