Presiden Parti Islam Se-Malaysia (PAS) Datuk Fadzil Noor hari ini berkata debat olok-olok yang dianjurkan baru-baru ini oleh parti Umno, mungkin satu langkah persiapan untuk muzakarah Umno dan PAS.

"Mungkin (Perdana Menteri Datuk Seri) Dr Mahathir Mohamad mahu mendengar hujah-hujah Umno dalam menghadapi PAS. Jadi dia telah dengar dan kumpulkan orang Umno, kemudian dia minta orang Umno berlakon sebagai orang PAS untuk debat olok-olok," kata Fadzil.

"Tapi apa yang mereka lakukan itu bukan muzakarah, itu debat. Perdebatan itu adalah antara (kononnya) ketua pemuda PAS dan Ketua Pemuda Umno," tambah beliau.

Fadzil berkata demikian dalam sidang akhbar selepas ucapan dasar presiden di Muktamar Tahunan PAS ke-47, yang berlangsung selama empat hari bermula semalam di Markaz Tarbiyah PAS Pusat, Taman Melewar, Kuala Lumpur.

Beliau yang belum berkesempatan menonton rakamanVCD debat itu turut mengulas, "Sebenarnya muzakarah bukanlah untuk menentukan siapa menang atau siapa kalah. Kalau perdebatan, menang kita ada yang menang dan yang kalah untuk dapat hadiah... tapi siapa pula yang nak beri hadiah itu?

"Muzakarah adalah untuk mencari penyelesaikan untuk sesuatu masalah, di mana masing-masing boleh menyuarakan pandangan yang dapat menyelesaikan masalah," tegas beliau.