Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Kes bunuh Tapah: 2 beranak dikenakan perintah tahanan bawah POCA
Diterbitkan:  Feb 6, 2016 6:00 AM
Dikemaskini: 10:13 PM

Lembaga Pencegahan Jenayah mengeluarkan Perintah Tahanan di bawah Akta Pencegahan Jenayah 1959 (POCA) malam tadi ke atas dua beranak berhubung kes pembunuhan empat individu di Jalan Pahang, Tapah, tahun lepas.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Perak Datuk Goh Kok Liang dalam kenyataan di Ipoh berkata perintah tersebut dikeluarkan pada 9 malam dan berkuat kuasa mulai semalam.

Katanya kedua-dua beranak itu dikenakan Perintah Tahanan di bawah Seksyen 19A (1) POCA.

Individu pertama seorang mekanik berusia 58 tahun diperintah menjalani tahanan di Pusat Pemulihan Khas Simpang Renggam, Johor selama dua tahun, manakala anak lelakinya yang berumur 21 tahun akan ditahan di Pusat Pemulihan Khas Kluang, Johor juga selama dua tahun.

Terdahulu, Mahkamah Sesyen Ipoh membebaskan dua beranak tersebut semalam selepas tempoh reman selama 59 hari sejak Disember lepas, yang dibuat mengikut Seksyen 4 (1)(a) POCA berakhir semalam.

Timbalan Pendakwa Raya Harris Ong Mohd Jeffery Ong memaklumkan dua beranak itu dibebaskan kerana siasatan tidak dapat diselesaikan sepanjang mereka direman.

Pada 26 Oktober lepas, polis menahan empat suspek di sebuah rumah di kawasan bengkel kenderaan di Jalan Pahang, Tapah pada jam 1.30 tengah hari susulan laporan kehilangan seorang lelaki berusia 46 tahun yang bekerja sebagai pekebun dan ejen hartanah di Kampung Sungai Lah, Chenderiang dekat Ipoh pada 25 Ogos lepas.

Dua lagi suspek iaitu isteri dan anak mekanik itu yang sebelum ini ditahan reman bagi membantu siasatan, dibebaskan tanpa syarat pada 2 Disember tahun lepas setelah didapati mereka tiada kaitan dengan kehilangan lelaki terbabit.

- Bernama

Lihat Komen
ADS