Perdana Menteri mahu semua peniaga di seluruh negara supaya mematuhi Skim Barangan Harga Kawalan, khususnya pada musim perayaan seperti yang telah ditetapkan.
Datuk Seri Najib Tun Razak dalam status terkini laman Facebooknya turut menyeru para pengguna untuk mempraktikkan hak mereka dengan melaporkan mana-mana peniaga yang gagal mengikuti arahan harga kawalan itu kepada pihak berkuasa.
Beliau yang mengadakan lawatan sehari ke Labuan semalam turut menyatakan berpuas hati dengan harga jualan barangan harga terkawal di wilayah itu bersempena musim perayaan Tahun Baharu Cina.
KPDNKK telah menetapkan harga maksimum bagi 13 jenis barangan harga terkawal bersempena Tahun Baharu Cina, berkuat kuasa dari 3 hingga 14 Februari ini.
Antara barangan itu ialah ayam hidup, ayam standard (disembelih dan dibersihkan berserta organ dalaman), telur, kubis bulat import, bawang putih (China), ikan bawal putih dan udang putih besar.
- Bernama