Dr Mahathir kirim salam, kata Anwar
Bekas Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata Tun Dr Mahathir Mohamad telah mengirim salam kepadanya melalui rakan-rakan dalam kerajaan.
Bagaimanapun, Anwar yang telah dipecat oleh Dr Mahathir daripada kerajaan dan Umno pada tahun 1998, enggan membuat sebarang spekulasi apakah 'maksud' kiriman salam tersebut.
Ketika ditemui
malaysiakini
di majlis makan malam bersama masyarakat Cina di Sungai Petani malam tadi, beliau tidak mahu membuat sebarang interpretasi mengenainya.
Malah, Anwar berkata, beliau tidak terperanjat menerima salam daripada Dr Mahathir kerana ianya merupakan satu amalan biasa dalam masyarakat Melayu dan Islam.
Ditanya bagaimana reaksinya, Anwar berkata, beliau menerimanya dengan ikhlas dan turut mengirim salam kepada bekas Perdana Menteri itu.
Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu berkata, sepertimana yang pernah dinyatakannya sebelum ini, beliau tidak pernah menyimpan sebarang perasaan dendam terhadap Dr Mahathir.
Selepas dipecat dari Umno dan kerajaan, Anwar telah didakwa di mahkamah dengan tuduhan menyalahguna kuasa, dan dihukum penjara selama enam tahun.
Bagaimanapun, hukuman penjara sembilan tahun ke atasnya bagi tuduhan liwat dibatalkan oleh Mahkamah Persekutuan empat bulan lalu dan beliau dibebaskan daripada Penjara Sungai Buluh.
Temui penyokong
Sementara itu, jamuan makan di sebuah kuil Cina di Sungai Petani itu mendapat sambutan hebat, dengan dihadiri oleh kira-kira 1,000 penyokong sebahagian besarnya kaum Cina yang masing-masing membayar RM50 untuk menghadirinya.
Anwar disambut dengan tepukan gemuruh para hadirin sebaik sahaja beliau tiba bersama anak perempuan sulungnya, Nurul Izzah. Majlis itu juga diserikan dengan persembahan tarian tradisional India dan tarian naga.
Dalam ucapannya dalam bahasa Malaysia, yang sekali-sekala diselingselikan dengan perkataan Cina, beliau mengulangi sokongannya terhadap pendidikan bahasa ibunda dan turut menyentuh mengenai pentingnya membasmikan amalan rasuah.
Anwar kemudiannya menghadiri majlis ceramah di sebuah kampung berhampiran yang dihadiri oleh kira-kira 5,000 penyokongnya.
Dalam ucapannya di majlis itu yang pekat dengan bahasa loghat Kedah, Anwar mendakwa terdapat tiga "ustaz Umno" yang dihantar oleh Dr Mahathir ke Indonesia untuk meyakinkan orang di sana yang beliau (Anwar) seorang yang jahat.
Anwar sedang mengadakan kunjungan ke seluruh negara untuk menemui penyokongnya. Sejak hari Sabtu, beliau telah mengadakan siri ceramah di Kota Bharu, Johar Bahru dan Temerloh.