Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Mangsa banjir masih ditempat di 7 pusat pemindahan
Diterbitkan:  Feb 9, 2016 6:27 AM
Dikemaskini: 10:34 PM

Sejumlah 765 orang mangsa banjir daripada 175 keluarga masih ditempatkan di tujuh pusat pemindahan setakat 8.20 malam tadi.

Pegawai Perhubungan Awam Jabatan Pertahanan Awam Negeri (JPAM) Sarawak, Siti Huzaimah Ibrahim berkata setakat malam ini juga hanya kawasan di Bahagian Kuching terjejas dengan banjir.

Katanya tujuh pusat pemindahan berkenaan masing-masing empat di Daerah Kuching dan tiga di Daerah Bau.

"Pusat pemindahan di Daerah Kuching ialah di Dewan Serbaguna Taman Malihah menempatkan 469 orang daripada 103 keluarga dan Dewan Sinaran Lumut Kampung Sungai Lumut menempatkan 28 mangsa daripada tujuh keluarga.

"Sekolah Rendah Chung Hua Sejijak menempatkan 51 mangsa daripada 16 keluarga dan Dewan Batu Kitang Jaya, 29 mangsa daripada tujuh mangsa," katanya.

Siti Huzaimah berkata di Daerah Bau Dewan Serbaguna Kampung Pangkalan menempatkan 64 orang mangsa daripada 15 keluarga, Sekolah Kebangsaan Siniawan 70 mangsa daripada 15 keluarga dan Masjid Darul Ehsan, 54 mangsa daripada 12 keluarga.

Di MELAKA, jumlah mangsa banjir yang ditempatkan di dua pusat pemindahan di Alor Gajah menurun kepada 280 orang daripada 69 keluarga sehingga 8 malam ini, berbanding 359 orang daripada 88 keluarga pada 4 petang tadi.

Pengarah Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) Melaka Lt Kol (PA) Effendy Ali berkata daripada jumlah itu, 254 orang masih ditempatkan di Sekolah Kebangsaan Belimbing Dalam manakala 26 orang di Balai Raya Bukit Balai Durian Tunggal.

"Kita jangkakan jumlah mangsa akan terus berkurang sekiranya cuaca tidak hujan pada malam ini," katanya.

Sementara itu, jumlah mangsa banjir yang dipindah ke empat pusat pemindahan di dua daerah Tangkak dan Segamat di Johor, meningkat daripada 127 mangsa kepada 132 setakat pukul 7 malam.

Menurut Jurucakap Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah Daerah Segamat, jumlah mangsa di daerah itu meningkat dari 26 daripada tujuh keluarga ke 31 orang daripada lapan keluarga.

"Setakat ini, satu keluarga telah dipindahkan di pusat pemindahan di Sekolah Kebangsaan Simpang Loi menjadikan dua buah keluarga bersamaan 10 mangsa," kata beliau.

Sementara itu, di daerah Tangkak masih mencatatkan jumlah mangsa yang sama iaitu seramai 102 orang daripada 27 keluarga ditempatkan di Sekolah Kebangsaan Sialang dan Sekolah Kebangsaan Agama Bandar Tangkak.

Beliau berkata kawasan yang terjejas di kawasan itu termasuk Kampung Seberang Gajah, Sialang Dalam, Tanjung Laboh dan Seri Makmur.

- Bernama

Lihat Komen
ADS