Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
MP: Banjir di Sarawak tunjuk k'jaan kurang prihatin
Diterbitkan:  Feb 9, 2016 5:55 PM
Dikemaskini: 9:59 AM

Kelewatan bagi mengambil langkah mengelakkan banjir di Sarawak menunjukkan kurangnya keprihatinan Putrajaya terhadap rakyat, kata seorang ahli parlimen DAP hari ini.

"Kerajaan tidak memberi keutamaan kepada projek-projek ini, melengah-lengahkannya dan meletakkan syarat berdasarkan keadaan kewangan negara menunjukan kepentingan rakyat tidak dijaga terutama mereka yang terjejas teruk akibat banjir ini," kata Ahli Parlimen Stampin Julian Tan dalam satu kenyataan.

Tan memetik jawapan yang diterima daripada Timbalan Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar Datuk Hamim Samuri yang menyatakan fasa kedua projek tebatan banjir di Sarawak hanya akan dijalankan pada 2016 hingga 2017.

Ia adalah dengan syarat bahawa kerajaan mampu menanggung kos RM584 juta yang diperlukan bagi projek itu, Tan memetik Hamim sebagai berkata.

Tan juga menyalahkan pihak berkuasa tempatan kerana tidak memelihara dan menaik taraf sistem perparitan di Kuching dan menggesa mereka untuk melakukan yang lebih baik.

Pihak berkuasa tempatan juga perlu menasihati pemaju hartanah bagaimana untuk merancang sistem perparitan yang betul apabila membangunkan projek-projek mereka, katanya.

Tan berkata banjir di Kuching adalah kejadian yang berlaku setiap tahun dan langkah-langkah sepatutnya diambil sekarang bagi membetulkan keadaan.

Beliau berkata demikian selepas menyampaikan bantuan kepada mangsa banjir di Kuching pada hari pertama Tahun Baru Cina semalam.

Beliau mengucapkan terima kasih kepada Jabatan Pertahanan Awam, Jabatan Bomba dan Penyelamat serta pelbagai sukarelawan kerana kerja keras mereka dalam membantu mangsa.

Keadaan banjir di Sarawak kini semakin buruk, dengan jumlah mangsa meningkat daripada 617 malam tadi kepada hampir 2,700 pagi ini.

Keadaan ini dijangka lebih buruk apabila air pasang berlaku jam 5 petang hingga 7 petang ini.

Lihat Komen
ADS