Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Zaid: Adakah Najib jamu selera di restoran ‘halal’ di Amerika?
Diterbitkan:  Feb 16, 2016 12:36 PM
Dikemaskini: 5:44 AM

Ketika pelbagai pihak sibuk mahu tindakan keras ke atas kedai makanan yang mempamerkan papan tanda “bebas daging babi” atau “pork free”, bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Zaid Ibrahim tertanya-tanya di restoran mana Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak menjamu selera ketika berada di Amerika Syarikat semasa lawatan rasminya.

Ini susulan kenyataan Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Asyraf Wajdi Dusuki yang menggesa tindakan terhadap restoran yang memaparkan tanda “bebas daging babi” itu kerana ia mengelirukan umat Islam dengan menyangka ia sebagai restoran “halal”.

Zaid ( atas, kiri ) berkata semasa pentadbiran perdana menteri keempat negara, Tun Dr Mahathir Mohamad, peraturan adalah lebih mudah malah ketua Jabatan Agama Islam Malaysia (Jakim) meminta ‘steak’ bagi menjamu seleranya di sebuah restoran di Australia yang bukannya halal.

Beliau berkata ketua Jakim ketika itu, Tan Sri Wan Mokhtar Ahmad memaklumkannya Islam hanya melarang memakan daging basi atau tidak bersih, daging yang dipersembahkan kepada berhala dan daging babi.

"Di bawah Najib, keadaan menjadi lebih rumit kerana beliau berusaha keras untuk memberi tag maqasid syariah atau objektif syariah berhubung segala yang kita lakukan di Malaysia.

"Bagaimanapun, saya tertanya-tanya jika Najib dan isterinya yang jelita akan menikmati makanan halal yang disahkan oleh Jakim apabila mereka melawat Rancho Mirage, Palm Springs, Amerika Syarikat, hujung minggu ini.

"Jika tidak, maka ia adalah yang paling tidak adil bagi pegawai kementerian untuk membuat kecoh mengenai status restoran “bebas daging babi” dan pensijilan halal di mana rakyat kebanyakan menjamu selera tetapi mengetepikan keperluan yang sama apabila perdana menteri dan rombongannya melawat US, UK dan tempat-tempat lain," katanya

Zaid berkata kekecohan berhubung tanda restoran “bebas daging babi” itu hanya membuktikan penguasaan bahasa Inggeris yang lemah di kalangan kakitangan awam.

"Pemilik tidak perlu menyatakan bahawa premis mereka bersih atau hidangan mereka adalah bebas kolesterol - hanya bebas daging babi.

"Jika ada kekeliruan dari tanda ini, masalah ini bukan kerana pemilik restoran tetapi dengan pelanggan dan pegawai penguatkuasa kementerian yang tidak memahami bahasa Inggeris.

"Walau bagaimanapun, saya ingin mencadangkan supaya pemilik restoran berhenti mempamerkan tanda 'bebas daging babi' sama sekali kerana ia menyebabkan masalah yang tidak diperlukan kerana sikap penguatkuasaan kementerian dan penguasaan bahasa Inggeris yang lemah secara keseluruhan,” katanya blognya, semalam.

Zaid berkata tidak ada undang-undang menyekat mana-mana restoran atau kedai makanan daripada meletakkan tanda"bebas daging babis" jika mereka memang tidak menghidangkan daging itu.

[Baca berita penuh]

Lihat Komen
ADS