Perbandingan awal data mengenai aliran pengundian sewaktu pilihanraya umum tahun 1999 dan 2004 menunjukkan sokongan kaum wanita terhadap kerajaan Barisan Nasional (BN) semakin meningkat.

Penolong Prof Bridget Welsh dari Universiti John Hopkin berkata penyelidikannya mendapati sokongan kaum wanita terhadap Barisan Alternatif pembangkang merosot dalam pilihanraya umum pada 11 Mac tahun lalu.

"Ini amat jelas dilihat di sesetengah kawasan pilihanraya dan untuk parti-parti tertentu seperti PAS," kata beliau yang menjalankan penyelidikan di rantau ini sepanjang tempoh dua dekad lalu.

Beliau yang merupakan sarjana dalam kajian Asia Tenggara, membentangkan hasil penyelidikannya mengenai pengundian mengikut jantina di seminar yang dihadiri kira-kira 20 peserta, termasuk ahli Parlimen pembangkang, penguam dan pelajar, di Kuala Lumpur pada 18 Januari lalu.

Menurut Welsh, beliau menggunakan jumlah pengundi di 20 kerusi yang membabitkan 458 tempat pengundian pada pilihanraya umum 1999 dan lima kerusi membabitkan 89 tempat pengundian dalam pilihanraya umum yang baru lalu.

Sambil mengakui bahawa jumlah kerusi dalam kajian tersebut adalah kecil berbanding dengan aliran pengundian mengikut jantina, beliau berkata, terdapat banyak data-data penyelidikan mengenai aliran-aliran yang berkaitan dengan asal-usul kaum, umur dan kelas ekonomi.

"Angka-angka ini perlu diambil kira sebagai penanda kerana data-data sentiasa berkembang. Ianya mencerminkan perbezaan menarik dalam aliran pengundian mengikut jantina termasuk dalam setiap pilihanraya," katanya kepada malaysiakini .

Bercanggah dengan persepsi umum

Welsh berkata, beliau juga mengkaji hubungkait antara peratusan pengundi lelaki dan wanita dan sokongan mereka terhadap BN di kerusi negeri dan Parlimen.

"Contohnya, satu daerah pilihanraya dengan majoriti pengundi lelaki dalam pilihanraya umum 1999 dilihat ada hubungkaitnya dengan sokongan kuat kepada BN, berbanding dengan pengundi wanita," katanya.

BN memperolehi undi tambahan daripada pengundi wanita dalam pilihanraya umum 2004, walaupun tidak diperolehi sebab musababnya daripada data-data yang sedia ada.

Welsh juga berkata penyelidikannya bercanggah dengan persepsi yang golongan belia pro-pembangkang, kerana separuh daripada pengundi yang berumur di bawah 30 tahun, mengundi menyokong BN dalam pilihanraya umum lalu 52.9 peratus pada tahun 1999 dan 59.5 peratus pada 2004. Bagaimanapun, jumlah pengundi juga turut bertambah.

Welsh - yang banyak menulis mengenai isu-isu berkaitan dengan rantau Asia seperti sikap terhadap demokrasi dan politik kontemporari Malaysia juga menunjukkan dari segi etnik, BN menerima sokongan kuat daripada kaum India dan Melayu.

Hampir 60 peratus pengundi berumur melebihi 30 tahun juga menyokong parti pemerintah. Dalam proses tersebut, BN berjaya merampas semula Terengganu dari PAS, serta hampir menang di Kelantan.