Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dasuki mendakwa negara kini berdepan dengan fenomena masyarakat yang "lompong jiwa dan akal budi".

Malah, Asyraf menyifatkan generasi kini sebagai "generasi Apps".

Kata Asyraf, generasi Y hanya memanfaatkan aplikasi media sosial sehingga kadang-kdang "tercabut akal budi dan jiwa nurani manusiawi".

"Dalam suasana masyarakat kita hari ini saya kira kita berhadapan dengan fenomena masyarakat yang rata-ratanya di kalangan generasi muda lompong jiwa dan akal budi.

"Seolah-olah pada pengisian rohani itu wujud satu vakum yang besar," katanya ketika berucap dalam majlis dialog dan pelancaran album Mathnawi Rumi nyanyian Kopratasa di Institut Integriti Malaysia di Kuala Lumpur hari ini.

Mengulas lanjut, Asyraf berkata beliau bimbang dengan keadaan semasa kerana situasi tersebut menjurus kepada pelbagai gejala sosial.

Malah, Asyraf menegaskan jika situasi itu tidak dibendung dan generasi muda tidak dibimbing dengan nilai-nilai kemanusian, negara seolah-olah bergerak tanpa tujuan.