Empat pemuda yang dilaporkan hilang sejak Rabu lepas ketika dalam perjalanan ke Terengganu, ditemui mati di dalam sebuah kereta di dalam anak sungai, di Kota Tinggi hari ini.

Ketua Polis Johor Datuk Wan Ahmad Najmuddin Mohd berkata kereta jenis Honda Accord itu ditemui terbalik di dalam anak sungai di sebuah ladang kelapa sawit terbabit oleh orang awam sebelum menghubungi polis kira-kira jam 8.10 pagi tadi.

"Sepasukan polis yang dibantu bomba dan Jabatan Pertahanan Awam telah pergi ke tempat kejadian dan menarik naik kenderaan terbabit lalu menemui empat mayat lelaki di dalamnya," katanya kepada pemberita di Johor Bahru hari ini.

Wan Ahmad Najmuddin berkata setakat ini pihaknya masih menjalankan siasatan terperinci mengenai kejadian itu dan akan mendapatkan keterangan daripada pihak keluarga pemuda berkenaan.

Beliau berkata punca kejadian juga belum dikenal pasti, namun, tiada sebarang unsur jenayah boleh dikaitkan dengan kejadian itu.

Wan Ahmad Najmuddin berkata, mayat kesemua pemuda terbabit dibawa ke Hospital Mersing untuk bedah siasat.

Terdahulu, empat pemuda yang kesemuanya berusia 21 tahun itu dilaporkan hilang ketika dalam perjalanan dari rumah mereka di Bandar Seri Alam, di Johor Bharu ke Terengganu untuk bercuti.

Kesemua mereka dikenali sebagai Luqman Jainie, Abu Izzani Abu Bakar, Nik Shakir Zufayri dan Muhammad Asyraf Isa.

Mengikut laporan yang diterima polis daripada keluarga pemuda terbabit, mereka bertolak dari Bandar Seri Alam, kira-kira 9.30 malam Rabu lepas dengan menaiki kereta Honda Accord itu menuju ke Terengganu.

Mereka dipercayai melalui jalan Johor Baharu-Kota Tinggi-Mersing-Rompin untuk bercuti ke lokasi yang masih belum diketahui secara tepat.

Namun, selepas dua jam bertolak kira-kira jam 11.30 malam, mereka gagal dihubungi melalui talian telefon bimbit masing-masing.

- Bernama