Serangan DDoS meningkat dalam saiz dan Kekerapan
Dalam laporan terbaru CDNetworks, sebuah penyedia perkhidmatan CDN global, jumlah serangan DDoS pada tahun 2015 meningkat 118 peratus berbanding tahun sebelumnya dan ia dijangka meningkat pada 2016.
Serangan DDoS (Penafian Perkhidmatan Teragih atau Distributed Denial of Service) berusaha untuk menjejaskan sesuatu perkhidmatan dalam talian dengan membanjirkan trafik daripada pelbagai sumber. Serangan seperti ini boleh melumpuhkan perniagaan dalam talian, sekaligus memberikan kesan negatif terhadap hasil, imej dan operasi sesebuah organisasi.
Menurut laporan itu, serangan besar trafik lebih 10 gigabit sesaat (Gbps) telah menyumbang lebih 20 peratus daripada jumlah serangan DDoS buat kali pertama, yang menandakan satu trend yang semakin meningkat dalam jumlah trafik serangan DDoS.
Pada tahun 2014, serangan DDoS mensasarkan terutamanya syarikat perjudian tetapi pada tahun 2015, skop itu diperluaskan untuk turut mengancam institusi awam dan syarikat-syarikat kewangan.
Pada tahun 2016, serangan DDoS dijangka meningkat bukan sahaja dari segi kekerapan tetapi juga purata serangan trafik.
Organisasi yang cuba melawan serangan DDoS dengan sebuah postur pertahanan berpusat akan dengan pantas mengalah dan tunduk terhadap serangan seperti itu. Ketika semakin banyak syarikat beralih kepada penyelesaian keselamatan berasaskan awan untuk mengekang serangan itu, pusat-pusat pertahanan DDoS berasaskan awan bersedia untuk berkembang.
"Jumlah serangan DDoS akan meningkat kerana serangan besar-besaran boleh dilancarkan pada kos yang semakin rendah. Sektor perniagaan akan mendapati bahawa strategi pertahanan yang terbaik adalah untuk beralih kepada infrastruktur berasaskan awan global yang boleh meresapkan serangan itu dan memastikan operasi dalam talian mereka kekal tidak terjejas," kata Pengurus Cawangan Singapura, CDNetworks, Jerry Chung.
"Ini terutamanya penting dalam industri perkhidmatan kewangan, di mana apa-apa pelanggaran data boleh menyebabkan hilangnya keyakinan dalam syarikat itu, sekaligus memberi kesan negatif kepada imej jenama dan reputasi mereka," katanya.
- Bernama

