Pertuduhan hasutan ke atas Ketua PKR Johor ditarik balik
Pejabat Peguam Negara hari ini menarik balik tuduhan menghasut ke atas Pengerusi PKR Johor Hassan Karim.
Ini berikutan perrsetujuan pejabat peguam negara dengan surat perwakilan yang dihantar oleh peguam Hassan, Jimmy Puah.
Hassan memberitahu Malaysiakini bahawa kes itu ditetapkan untuk sebutan hari ini di Mahkamah Sesyen Johor Baru bagi mendapatkan tarikh perbicaraan tetapi timbalan pendakwaraya kemudian memberitahu hakim bahawa pertuduhan itu telah ditarik balik.
Berikutan itu, Hakim Kamarudin Kamsun mengarahkan pelepasan tetapi tidak dibebaskan.
Kamarudin turut memerintahkan wang ikat jamin itu dikembalikan.
Hassan didakwa atas dua pertuduhan menerbitkan penerbitan menghasut di laman sosial Twitter @Hakarim51, di Pejabat Persatuan Pribumi Perkasa (Perkasa), No: 40, Jalan Tengku Ampuan Zabedah A/9A, Seksyen 9 di Shah Alam, kira-kira jam 5 petang 15 Ogos 2014.
Dia juga didakwa atas dua pertuduhan pilihan menggunakan Twitter itu untuk membuat dan memulakan pernyataan yang jelik sifatnya berhubung dakwaan sama dengan niat untuk menyakitkan hati orang lain di tempat, masa dan tarikh sama.
Selain itu, Hassan juga didakwa menerbitkan penerbitan menghasut di laman sosial Twitter @zunarkartunis di Pejabat Unit Siasatan Jenayah Terkelas, Bukit Aman, Kuala Lumpur, kira-kira 3 petang pada 10 Februari lalu.
Dia turut didakwa atas tuduhan pilihan menggunakan Twitter itu untuk membuat dan memulakan pernyataan yang jelik sifatnya berhubung dakwaan sama dengan niat untuk menyakitkan hati orang lain di tempat, masa dan tarikh sama.
Pertuduhan hasutan dibuat mengikut Seksyen 4 (1)(c) Akta Hasutan 1948 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 4 (1) akta sama yang memperuntuk hukuman denda maksimum RM5,000 atau penjara maksimum tiga tahun atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.
Pertuduhan pilihan pula dibuat mengikut Seksyen 233 (1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 233 (3) Akta sama yang memperuntuk hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara maksimum setahun atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

