Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini menolak permohonan peguam P Uthayakumar bagi mendapatkan perintah untuk menubuhkan Suruhanjaya Siasatan Diraja berhubung layanan pihak penjara ke atas banduan.

Pesuruhjaya Kehakiman Datuk Nordin Hassan ketika membuat keputusan itu berkata Mahkamah Tinggi Jenayah tidak mempunyai bidang kuasa untuk mendengar permohonan yang difailkan Uthayakumar.

"Mahkamah tidak mempunyai bidang kuasa untuk mendengar deklarasi yang dipohon, oleh itu mahkamah menolak permohonan tersebut," katanya.

Hari ini ditetapkan untuk pendengaran bantahan awal pihak pendakwaan terhadap permohonan Uthayakumar.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Suzana Atan dalam bantahannya menyatakan bahawa usul yang dipohon oleh Uthayakumar tidak termasuk di dalam bidang kuasa Mahkamah Tinggi Jenayah.

Suzana berkata Uthayakumar juga tidak menjelaskan perkara yang dipohon dalam permohonannya, di mana terdapat keputusan di Mahkamah Rayuan menyatakan apabila gagal menjelaskan mengenai permohonan yang dibuat, maka permohonan itu boleh ditolak.

Uthayakumar, seorang aktivis, memfailkan notis itu pada 2 Oktober 2015 di pejabat Pendaftar Mahkamah menerusi Tetuan Kumar Hashimah & Co.

Dalam permohonannya, beliau menamakan enam responden iaitu Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak; Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi; Ketua Pengarah Jabatan Penjara, Datuk Seri Zulkifli Omar; Pengarah Penjara Kajang, Abdul Wahab Abdul Kassim; Peguam Negara dan Kerajaan Malaysia.

Menerusi notis berkenaan, Uthayakumar memohon perintah satu deklarasi bahawa amalan pesakit tibi dipenjarakan bersama banduan lain dan berkongsi satu pemotong kuku bersama pesakit AIDS adalah suatu perlanggaran di bawah Akta Penjara 1995.

- Bernama