Seorang lelaki berusia 38 tahun cedera parah di kepala, badan dan tangannya selepas ditetak lima lelaki di Kampung Parit Melor di Kota Bharu malam tadi.

Ketua Polis Daerah Kota Bharu ACP Baharom Abu berkata kejadian itu berlaku kira-kira pukul 7.30 malam dipercayai akibat rasa tidak puas hati suspek selepas dihalau ketika cuba menarik sebuah kereta milik majikan mangsa.

"Sebelum kejadian, lima suspek berkenaan pergi ke rumah majikan mangsa di kampung sama pukul 2.30 petang untuk menarik kereta, namun kesemua suspek melarikan diri selepas berlaku pergaduhan dan dihalau mangsa bersama seorang rakan dan majikannya," katanya.

"Bagaimanapun, kesemua suspek kembali semula ke rumah majikan mangsa pada kira-kira 7.30 malam, dengan bersenjatakan parang dan pedang serta memakai topeng, sebelum bertindak menyerang mangsa dan rakannya yang sedang mengawasi rumah tersebut," katanya ketika dihubungi hari ini.

Baharom berkata rakan mangsa berjaya melarikan diri manakala mangsa ditetak berkali-kali di kawasan belukar berhampiran rumah berkenaan sehingga cedera parah sebelum kesemua suspek melarikan diri dengan memandu kereta Perodua Alza.

"Akibat tetakan itu mangsa mengalami kecederaan di bahagian kepala, rusuk kiri, lengan kiri dan tangan selain patah tangan kiri.

"Mangsa yang ditemui adiknya di halaman rumah dalam keadaan berlumuran darah dan lemah, dihantar ke Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) untuk mendapatkan rawatan dan dilaporkan stabil," katanya.

Beliau berkata polis kini sedang memburu kelima-lima suspek.

- Bernama