‘Gesaan Raja-Raja untuk semakan tak akan halang RUU MKN’
Gesaan Majlis Raja-Raja Melayu supaya kerajaan menyemak semula beberapa peruntukan rang undang-undang Majlis Keselamatan Negara tidak akan menghalangnya daripada diwartakan sebagai undang-undang, kata peguam Syahredzan Johan.
Menurutnya, Perlembagaan Persekutuan menyatakan bahawa rang undang-undang akan dianggap sebagai menerima perkenan diraja 30 hari selepas dikemukakan kepada Yang di-Pertuan Agong, sama ada Seri Paduka bersetuju atau pun tidak.
"Sama ada baginda menolak atau tidak memberi perkenan diraja, ia sama sahaja. Ia tidak memberi kesan dan akan akan diluluskan," kata Syahredzan.
Beliau berkata kerajaan tidak mempunyai tanggungjawab untuk meminda rang undang-undang MKN walaupun Majlis Raja-Raja melahirkan kebimbangannya.
Bagaimanapun, katanya, jika kerajaan memutuskan untuk meminda rang undang-undang itu, ia perlu dibentangkan di Dewan Rakyat dan Dewan Negara sekali lagi untuk kelulusan.
Majlis Raja-Raja menzahirkan pandangan semalam bahawa beberapa peruntukan perlu diperhalusi, selepas Peguam Negara Tan Sri Mohamed Apandi Ali menyembahkan taklimat mengenai rang undang-undang itu pada Mesyuarat Majlis Raja-raja yang ke-240 di Istana Negara.

