Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Raja Izzuddin gagal cabar pelucutan gelaran Raja Kechil Besar
Diterbitkan:  Feb 18, 2016 6:26 PM
Dikemaskini: 10:41 AM

Mahkamah Tinggi hari ini menolak permohonan Raja Datuk Seri Izzuddin Iskandar Shah ibni Almarhum Sultan Idris A'fifullah Shah bagi mendapatkan kebenaran semakan kehakiman berhubung pembatalan pelucutan gelarannya sebagai Raja Kechil Besar Perak.

Hakim Datuk Hanipah Farikullah Shamsul turut memerintahkan Raja Izzudin membayar kos RM3,000 kepada kerajaan Malaysia.

Beliau membuat keputusan itu dalam kamarnya dengan dihadiri Peguam Kanan Persekutuan yang mewakili Peguam Negara, Shamsul Bolhassan dan peguam Mohamad Sofee Razak, mewakili Raja Izzuddin selaku pemohon.

Shamsul ketika ditemui pemberita berkata mahkamah menolak permohonan Raja Izzuddin selepas membenarkan bantahan awal yang dikemukakan Peguam Negara, selaku responden.

Beliau berkata mahkamah berpuas hati dan menerima hujahan bantahan awal pihaknya bahawa Sultan Perak, Sultan Nazrin Shah tidak bertindak atas kapasiti peribadi berhubung pelucutan gelaran itu sebaliknya hanya menggunakan kuasa prerogatif mengikut Perkara 37 Undang-Undang Negeri Perak (Undang-Undang Tubuh Kerajaan Perak Darul Ridzuan).

Oleh itu, kuasa Sultan Perak, Sultan Nazrin Shah berhubung perkara itu tidak boleh disemak atau dicabar, menurut Shamsul.

Pada 9 Oktober tahun lepas, Raja Izzuddin, 63, memfailkan permohonan kebenaran semakan kehakiman terhadap keputusan Peguam Negara tidak membenarkannya memulakan tuntutan di Mahkamah Khas berhubung pembatalan pelucutan gelarannya.

Dalam permohonan itu, Raja Izzuddin memohon satu perintah untuk membatalkan dan mengetepikan keputusan Peguam Negara dalam tuntutannya berhubung Penyerahan Hak Dan Kedudukan Kekananan (Senioriti) Raja-Raja Bergelar Kerajaan Negeri Perak terhadap Sultan Perak, Sultan Nazrin Shah selaras dengan Perkara 182 dan 183 Perlembagaan Persekutuan.

Putera raja itu mendakwa beliau adalah pewaris takhta Negeri Perak yang sah menurut Perlembagaan di bawah peruntukan Fasal VII (1), Bahagian Kedua, Undang-Undang Negeri Perak (Undang-Undang Tubuh Kerajaan Perak Darul Ridzuan).

Raja Izzuddin berkata pelucutan jawatan itu berkuat kuasa 29 November 2006 selepas Dewan Negara Khas bersidang pada 26 Nov 2006 dan perlucutan jawatan itu adalah mengikut Fasal LIV (1) (d) Bahagian Kedua, Undang-Undang Negeri Perak di mana pemecatan disebabkan status kebankrapan dan status kebankrapan yang belum dilepaskan pada masa itu.

- Bernama

Lihat Komen
ADS