MKN: AG kaji semula titah Raja-raja, Najib ambil maklum
Peguam Negara Tan Sri Apandi Ali hari ini berkata beliau akan mengkaji semula beberapa seksyen di bawah Rang Undang-undang Majlis Keselamatan Negara (MKN).
Beliau berkata demikian kepada akhbar Sin Chew Daily selepas Majlis Raja-Raja memaklumkan akan menulis surat kepada perdana menteri menggesa kerajaan mengkaji semula rang undang-undang yang menurut pengkritik boleh membawa kepada pemerintahan diktator.
Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak hari ini berkata, beliau "mengambil maklum" desakan Raja-Raja Melayu untuk semakan rang undang-undang nerkenaan.
Bercakap kepada Malaysiakini , peguam Syahredzan Johan berkata sebarang pindaan kepada rang undang-undang yang diluluskan oleh Parlimen pada 22 Disember lalu perlu dibentangkan semula.
Menurutnya, Perlembagaan Persekutuan menyatakan bahawa rang undang-undang itu perlu dikemukakan kepada Yang di-Pertuan Agong dan bukannya Majlis Raja-Raja.
Rang undang-undang itu secara automatik boleh diwartakan sebagai undang-undang 30 hari selepas ia dikemukakan walaupun Seri Paduka tidak memberi perkenan baginda.
Antara lain, rang undang-undang MKN membolehkan pengerusinya yang juga adalah perdana menteri untuk mengisytiharkan mana-mana kawasan sebagai zon keselamatan dan mengenakan pemerintahan darurat.
Najib sebelum ini mempertahankan MKN sebagai tindakan yang amat diperlukan untuk menghadapi ancaman keganasan yang didakwa semakin meningkat.
Lapor komen ini


Anda pasti mahu padam komen ini?
Komen anda tidak akan boleh dikembalikan semula.