Kedutaan: Jangan 'tafsir berlebihan' derma duta China
Kedutaan China di Malaysia meminta supaya tidak "ditafsir secara berlebihan" sumbangan derma Dutanya Huang Huikang kepada beberapa sekolah-sekolah Cina di Johor selepas isu itu menjadi perhatian.
Dalam satu jawapan melalui emel kepada
Malaysiakini
, kedutaan itu berkata, sejak Huang (gambar) mula berkhidmat di Malaysia, beliau telah melawat sekolah Cina di negeri-negeri dan membuat sumbangan simbolik dalam bentuk buku dan alat muzik.
"Ini adalah untuk menunjukkan sokongan kerajaan China terhadap usaha Malaysia dalam mempromosikan pendidikan Cina, dan juga sebagai hadiah kepada kerajaan dan rakyat Malaysia dari semua lapisan masyarakat.
"Duta pergi ke Paloh dan menghadiri rumah terbuka Tahun Baru (CNY) dan melawat sebuah sekolah Cina Paloh; ia satu aktiviti biasa CNY dan ia tidak perlu ditafsirkan secara berlebihan," kata emel tersebut.
Menurut akhbar berbahasa Cina tempatan, Huang telah dijemput oleh Menteri Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Hussein untuk menghadiri rumah terbuka CNY di Paloh di Johor, Ahad lalu.
Di majlis tersebut, Huang menyampaikan sumbangan sebanyak RM40,000 kepada lapan sekolah rendah Cina dalam kawasan Parlimen Hishammuddin - Sembrong.
Berita mengenai sumbangan derma itu, bagaimanapun menimbulkan reaksi yang bercampur-campur.

